Malam Anugerah Maksak Malaysia 2015 : 4 Mac 2016

MAKSAK
YB SUK Perak, Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan wakil dari MAKSAK Perak yang menduduki tempat kedua Pengelola Terbaik Program Kejohanan MAKSAK 2015.

PUTRAJAYA, 4 MAC 2016 - Malam Anugerah Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) 2015 telah disempurnakan oleh YBhg. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Mohamad Zabidi Bin Zainal di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Malam anugerah yang merupakan acara tradisi tahunan MAKSAK adalah bagi mengiktiraf pencapaian badan-badan gabungan MAKSAK dan atlet perkhidmatan awam yang telah mengharumkan nama Perkhidmatan Awam Malaysia di kejohanan sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun 2015.

Selain mengukuhkan jalinan perhubungan dan semangat kekelurgaan dalam MAKSAK dan tanda terima kasih kepada semua pihak yang menyokong program-program MAKSAK, majlis turut meraikan ulang tahun penubuhan MAKSAK ke-60 (Jubli Intan).

“Tahun 2016 juga merupakan tahun yang sangat istimewa dan signifikan kerana MAKSAK turut meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-60. Sejak penubuhannya yang penuh bersejarah pada tahun 1956, MAKSAK telah mengharungi pelbagai onak dan cabaran serta mengecapi pelbagai kisah kejayaan.”

“MAKSAK sememangnya berada dalam kelasnya yang tersendiri dalam melahirkan generasi pentadbir, pegawai dan atlet yang berprestasi tinggi. Program sukan, sosial dan kebajikan MAKSAK juga saban tahun terus menjadi platform dalam menyatukan anggota perkhidmatan awam dari pelbagai lapisan dari seluruh pelusuk negara” kata YBhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Bin Zainal yang juga merangkap Timbalan Yang Dipertua MAKSAK Malaysia.

Ketika menyampaikan ucapan sempena Malam Anugerah MAKSAK 2015, YBhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Bin Zainal, turut menyeru penjawat awam mengamalkan kehidupan yang cergas dan aktif kerana ia penting untuk kesihatan tubuh badan dan seterusnya akan menghasilkan fikiran yang cergas dan minda yang progresif.

“Ini adalah selari dengan salah satu daripada 6 prinsip utama dalam Konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam iaitu ‘Insaniah’ di mana penjawat awam perlu menyeimbangkan antara kehidupan rohani dan kesihatan jasmani dalam cara kita bekerja demi menjadikan Perkhidmatan Awam Malaysia sebuah perkhidmatan yang unggul.

Marilah kita bersama-sama menghayati prinsip-prinsip keterbukaan, turun padang, musyawarah, kekitaan dan kerjasama awam-swasta-NGO yang diterapkan dalam Konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam dan menjadikannya sebagai panduan dalam pelaksanaan program-program sukan dan sosial di jabatan masing-masing.” kata YBhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Bin Zainal.

Pada Malam Anugerah MAKSAK 2015, sebanyak 8 kategori anugerah telah disampaikan kepada pemenang-pemenang, iaitu Pemenang Keseluruhan Kejohanan MAKSAK, Olahragawan MAKSAK, Olahragawati MAKSAK, Anugerah Khas (Lelaki) MAKSAK, Anugerah Khas (Wanita) MAKSAK, Anugerah Pengelola Terbaik, Anugerah Penyertaan Penuh, dan Pemenang Program Kecergasan Walk –a – Win Perkhidmatan Awam.

Selain itu para atlet perkhidmatan awam yang mencapai kejayaan di Sukan SEA 2015 Ke-28 di Singapura dan The 1st ASEAN Civil Service Games juga diberi insentif di bawah Skim Insentif Sukan MAKSAK.

Berikut adalah senarai pemenang Anugerah MAKSAK 2015 :-

1. Olahragawan MAKSAK
  Rayzam Shah Wan Sofian (Olahraga) - MASAK Sabah
   
2. Olahragawati MAKSAK
  Komalam Shally a/p Selvaretnam (Olahraga) – Majlis Sukan ATM
   
3. Anugerah Khas (Lelak ) MAKSAK
  Muhammad Hafizuddin Bin Mat Daud (Pentanque) - Majlis Sukan ATM
   
4. Anugerah Khas (Wanita) MAKSAK
  Emma Firyana Binti Saroji (Boling Padang) - Majlis Sukan PDRM
   
5. Pengelola Terbaik Kejohanan MAKSAK
  Johan – MAKSAK Johor (Pentaque dan Mini Karnival Sukan)
  Naib Johan – MAKSAK Perak (Malam MAKSAK dan MASAK Turun Padang)
  Ketiga – MASAK Negeri Sembilan
   
6. Pemenang Keseluruhan Kejohanan Sukan dan Kebudayaan MAKSAK
  Johan - MAKSAK WP Kuala Lumpur
  Naib Johan – Majlis Sukan ATM
  Ketiga – Majlis Sukan PDRM
   

MAKSAK

YB Pegawai Kewangan Negeri Perak, Dato' Haji Mohd Gazali Bin Jalal selaku wakil dari MAKSAK Perak menerima piala tempat kelima keseluruhan Kejohanan Sukan Dan Kebudayaan Maksak Malaysia.

MAKSAK

Atlet Teping Bowling Maksak Perak, Sin Li Jane menerima Skim Insentif Sukan MAKSAK 2015 setelah mendapat pingat emas ketika Sukan SEA Ke-28, Singapura.

MAKSAK

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan bersama isteri, YBhg. Datin Seri Nor Hasmah Bt. Mohamad bergambar bersama Atlet Tenpin Bowling MAKSAK Perak.

MAKSAK

YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato' Zambri Bin Man bersalaman dengan YBhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Bin Zainal.

MAKSAK

Ahli-ahli jawatankuasa MAKSAK Perak yang hadir ke Majlis Malam Anugerah MAKSAK Malaysia.

Sumber: Korporat, SUK Perak.