WWF Malaysia Dan Yayasan Maybank Jalin Kerjasama Laksana Program Konservasi Harimau Di Hutan Royal Belum : 21 Mac 2016


DYMM Sultan Perak bergambar bersama YAB Menteri Besar Perak,Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai WWF-Malaysia, dan Pengerusi Maybank.

GERIK, 21 MAC 2016 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Kerjasama Pengukuhan Konservasi Harimau di Hutan Royal Belum antara Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dan Yayasan Maybank.

Majlis pelancaran yang diadakan di Belum Rainforest Resort, Pulau Banding ini turut dihadiri YAB Menteri Besar Perak Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai WWF-Malaysia, Datuk Dr Dionysious S.K Sharma serta Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Menerusi kerjasama itu, Maybank memperuntukkan sebanyak RM7 juta untuk melaksanakan program-program pemuliharaan harimau bagi tempoh empat tahun di Kompleks Hutan Belum-Temengor dan bagi tahun pertama, sebanyak RM1.2 juta akan dibelanjakan.

Program konservasi itu antara lain merangkumi penyelidikan terhadap harimau dan haiwan sumber makanan, kerjasama bersama masyarakat setempat serta pelbagai agensi penguat kuasa.

“Jumlah harimau dalam negara ini berkurang kepada 250 ke 340 ekor daripada sekurang-kurangnya 3,000 ekor sekitar 1950-an. Ia merupakan penurunan mendadak dalam masa yang pendek.

“Malah, jumlah harimau di seluruh dunia juga dikatakan cuma 3,200 ekor dan komitmen bersama diwujudkan bagi menambah jumlah haiwan tersebut sebanyak sekali ganda menjelang 2022.

“Dalam beberapa bulan lepas, kita kehilangan empat ekor harimau disebabkan kegiatan pemburuan haram, konflik dan kemalangan. Semua ini harus dihentikan segera,” kata Datuk Dr Dionysious S.K Sharma.

Menurut Datuk Dr Dionysious S.K Sharma, meskipun senario terkini nampak membimbangkan, beliau percaya WWF Malaysia mempunyai peluang untuk menyelamatkan Harimau Malaya sekiranya habitat dan sumber makanan  mereka dijaga.

Sementara itu,  Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor berkata, adalah menjadi perkara penting bagi program tanggungjawab sosial korporat Maybank untuk mengutamakan penjagaan alam sekitar, lebih-lebih lagi penggunaan kepala Harimau Malaya telah sinonim sebagai simbol imej kepada jenama bank tersebut.

“Harimau telah memberikan kami inspirasi untuk kehebatan, kekuatan dan kelincahannya. Sehubungan itu, pihak berkepentingan melihat atribut jenama kami memanifestasi keberanian, keaslian, kreatif serta membawa nilai empati dan kerjasama sekali gus memberikan keyakinan bahawa kami menerapkan nilai dalam menginsankan perkhidmatan kewangan,” kata Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Kerjasama Pengukuhan Konservasi Harimau di Hutan Royal.

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli melihat pameran berkaitan langkah-langkah pemuliharaan harimau.

Kerjasama Pengukuhan Konservasi Harimau  di Hutan Royal Belum antara Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF ) Malaysia dan Yayasan Maybank.

Sumber: Korporat, SUK Perak.