Majlis Pelancaran Kempen Tahun Melawat Perak 2017 : 26 Mac 2016

Majlis Pelancaran Kempen Tahun Melawat Perak 2017
Kempen promosi Tahun Melawat Perak 2017 turut diperluaskan pada badan bas pelancongan dan bas Kerajaan Negeri.

IPOH, 26 MAC 2016 - Kerajaan Negeri melalui Tourism Perak dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad dan Majlis Bandaraya Ipoh telah melancarkan Kempen Tahun Melawat Perak 2017 (TMP 2017) pada 26 Mac 2016, pada jam 10.00 pagi bertempat di Stesen Keretapi Tanah Melayu, Ipoh Perak.

Majlis ini disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir dengan pelancaran tayangan video promo Tahun Melawat Perak 2017 serta meletakkan back seat sticker destinasi pelancongan Negeri Perak di ETS Keretapi Tanah Melayu sebanyak 300 unit. Promosi ini diadakan antara usahasama Kerajaan Negeri Perak dengan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi tujuan mempromosikan 1,807,827 juta orang yang telah menggunakan perkhidmatan ETS tersebut.

Turut diadakan kempen promosi pada badan bas pelancongan dan bas Kerajaan Negeri dan lima buah teksi. Tujuan pelaksanaan kempen ini adalah bagi mengekalkan kedudukan Negeri Perak sebagai negeri yang berjaya meraih kedatangan pelancongan domestik yang tertinggi di Malaysia.

Sementara itu, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir semasa sidang media berkata, sebanyak 500,000 pelancong antarabangsa disasar mengunjungi Perak sempena TMP 2017 dan beliau optimis bahawa sasaran itu mampu dicapai memandangkan Perak menerima antara 300,000 hingga 400,000 pelancong asing pada tahun lepas.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Tourism Malaysia Perak akan melakukan penambahbaikan prasarana pelancongan selain pengisian produk sedia ada.

Beberapa masalah terutama membabitkan kemudahan asas, kebersihan, sistem telekomunikasi serta tandas awam dikenal pasti untuk dibaiki kata YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir.

Turut hadir ke Majlis Pelancaran Tahun Melawat Perak 2017 ialah, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Tayyab; YB  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Perak, Mohamad Kamil Shafie dan Presiden KTM Berhad, Leftenan Kolonel (B) Datuk Sarbini Tijan.

Majlis Pelancaran Kempen Tahun Melawat Perak 2017

YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir menyerahkan bahan kempen Tahun Melawat Perak 2017 kepada pengguna ETS Keretapi Tanah Melayu.

Majlis Pelancaran Kempen Tahun Melawat Perak 2017

YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir menyempurnakan pelancaran Kempen Tahun Melawat Perak 2017.

Majlis Pelancaran Kempen Tahun Melawat Perak 2017

YAB Menteri Besar Perak meletakan bendera Tahun Melawat Perak 2017 pada 5 buah teksi terpilih.

Majlis Pelancaran Kempen Tahun Melawat Perak 2017

YAB Menteri Besar Perak melekatkan back seat sticker destinasi pelancongan Negeri Perak di ETS Keretapi Tanah Melayu.
Majlis Pelancaran Kempen Tahun Melawat Perak 2017 YBhg. Dato Bandar Ipoh dan barisan EXCO Kerajaan Negeri turut hadir ke Kempen Tahun Melawat Perak 2017.

Sumber: Korporat, SUK Perak.