8 Prinsip Bagi Melahirkan Penjawat Awam Terbaik : 1 April 2016

8 Prinsip Bagi Melahirkan Penjawat Awam Terbaik
Penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 bergambar kenangan bersama YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir.

IPOH, 1 APRIL 2016 - YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan menyeru penjawat awam khususnya di Negeri Perak agar menerapkan nilai-nilai seperti keterbukaan, turun padang, musyawarah, kekitaan serta perkongsian strategik yang sering ditonjolkan dalam kepimpinan YAB Menteri Besar Perak kerana ia merupakan pembolehutama dalam menentukan kejayaan konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam.

“Program pemukiman YAB Menteri Besar Perak yang telah dilaksanakan baru-baru ini telah menjadi penanda aras, apabila pendekatan ini terbukti adalah yang terbaik, bagi mendekatkan diri serta merakyatkan perkhidmatan awam terus kepada rakyat. Program ini menuntut komitmen sepenuhya dari semua penjawat awam supaya hasrat YAB Menteri Besar untuk sama-sama menghayati denyut nadi masyarakat dapat dirasai.”kata YB Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan ketika  menyampaikan ucapan sempena Maljis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2015 yang berlangsung di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Dalam ucapan beliau, YB Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan turut menyeru agar semua penjawat awam di Negeri Perak mempraktikkan lapan prinsip yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia ketika Majlis Persada Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-14 iaitu bagi melahirkan penjawat awam terbaik. YB Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan berkata,  8 prinsip tersebut adalah :-

  1. BERILMU - Penjawat awam hendaklah sentiasa memastikan mereka sentiasa berilmu pengetahuan, kreatif, inovatif dan mampu menjadi contoh kepada masyarakat.
  2. KEBOLEHPERCAYAAN – penjawat awam harus menyelami serta mempraktikkan sifat jujur, amanah, integriti, dan diyakini serta mempunyai nilai – nilai murni sejagat yang dipercayai oleh masyarakat.
  3. BUDAYA AMALAN KERJA TERBAIK – Penjawat awam harus bersungguh dan sentiasa serius dalam pekerjaan, fokus, disiplin, tepati masa dan mempunyai kemahiran serta kompetensi tinggi supaya dilihat sebagai satu kumpulan yang dinamik, progresif dan berupaya mendepani masalah.
  4. SEMANGAT PATRIOTIK – Penjawat awam harus mempunyai perasaan mencintai dan memiliki perjuangan patriotik untuk memartabatkan negara.
  5. BUDAYA KEBERHASILAN YANG BERTERASKAN OUTCOME BASE – Iaitu keperluan bagi penjawat awam untuk meningkatkan mutu dan kualiti kerja yang bersandarkan kepada petunjuk prestasi utama (KPI) dalam menghasilkan prestasi kerja yang unggul dan cemerlang.
  6. BUDAYA KREATIVITI DAN INOVASI – Penjawat awam perlu menampilkan pelaksanaan tugas yang lebih kreatif dan inovatif  bagi menyahut cabaran untuk memenuhi jangkaan rakyat yang semakin bertambah, pelbagai dan sentiasa berubah.
  7. NILAI TAMBAH DAN KOMPETENSI – Penjawat awam perlu dari semasa ke semasa berusaha untuk meningkatan kemahiran diri.
  8. PEMUAFAKATAN KERJA – Semua penjawat awam harus bergerak sebagai satu pasukan , meninggalkan amalan kerja secara silo. Semua pihak perlu muafakat dan saling bantu-membantu.

Dalam masa sama, YB Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan juga turut berpesan agar penjawat awam di negeri Perak perlu menghindari beberapa tabiat buruk  di dalam perkhidmatan awam seperti penafian  dimana penjawat-penjawat awam sentiasa  menafikan tentang kelemahan-kelemahan tadbir urus yang diadukan, sikap sombong, sifat mudah berpuas hati, kebergantungan terhadap orang lain, dan nilai (value) yang menegaskan tanggungjawab pelaksanaan tugas dengan penuh akauntabiliti.

Diakhir ucapan beliau , YB Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada kesemua 84 orang pegawai yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2016 dan beliau  berharap agar semua penerima akan lebih cemerlang sebagai peneraju perubahan ke arah transformasi perkhidmatan awam Negeri Perak.

Kesemua penerima APC Tahun 2015 menerima Sijil Simpanan Premium dan Sijil Anugerah Cemerlang yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir.

Penerima-penerima yang terpilih merupakan, anggota penjawat awam daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri(54 orang), Pejabat Kewangan Negeri Perak(8), Jabatan Mufti Perak( 3), Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak(11) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak(8)  yang telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan sepanjang tahun 2015.

8 Prinsip Bagi Melahirkan Penjawat Awam Terbaik

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis APC Tahun 2015 di Dewan Bankuet.

8 Prinsip Bagi Melahirkan Penjawat Awam Terbaik

YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Haji Abu Bakar Bin Haji Said mewakili kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang menerima Anugerah Sijil Terampil 2015.

8 Prinsip Bagi Melahirkan Penjawat Awam Terbaik

Puan Mai Nurulhuda Binti M Azhar dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri  menerima Sijil Anugerah APC Tahun 2015 yang disampaikan oleh YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir.

8 Prinsip Bagi Melahirkan Penjawat Awam Terbaik

Timbalan Pengarah (Pendaftaran) Pejabat Tanah dan Galian Perak, En Zulazlan Bin Abu Hassan menerima Sijil APC 2015 disampaikan YAB Menteri Besar Perak.
8 Prinsip Bagi Melahirkan Penjawat Awam Terbaik Penerima APC 2015 menerima ucapan tahniah daripada YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir.

Sumber: Korporat, SUK Perak.