DYMM Sultan Perak Rasmi Perak Agrotourism Resort : 14 Mei 2016

Perak Agrotourism
DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Perak Agrotourism Resort (PATRO).

TANJUNG TUALANG, 14 MEI 2016 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli berangkat bagi merasmikan Perak Agrotourism Resort (PATRO). Turut berangkat sama mengiringi baginda, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut hadir pada majlis tersebut, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir dan isteri YBhg. Datin Seri DiRaja Saripah Zulkifli, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Dato’ Ahmad Rizal Abdul Rahman.

Dalam majlis tersebut, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menandatangani plak sebagai simbol perasmian seterusnya melawat kawasan sekitar termasuk lokasi penanaman kunyit, daun kesum, cili fertigasi, madu kelulut, tempat pemprosesan telur masin serta lawatan chalet sekitar PATRO.

Patro yang diusahakan Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) merupakan tarikan pelancongan baharu yang mampu menarik pelancong ke negeri ini bersandarkan kepada keunikannya yang dibangunkan dengan menggabungkan elemen pelancongan dan pertanian di kawasan seluas 271.1 hektar.

“PATRO merupakan salah satu destinasi pelancongan agrotourism di negara ini yang melibatkan pelbagai jenis tanaman, ternakan dan aktiviti berasaskan air yang sangat sesuai untuk seisi keluarga menghabiskan masa bersama,” kata Dato’ Ahmad Rizal Abdul Rahman.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, pihaknya turut memastikan pembinaan chalet di resort itu sejak awal adalah menggabungkan elemen-elemen semula jadi bagi mengekalkan keaslian persekitarannya.

Selain itu, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti riadah yang turut ditawarkan di sini seperti aktiviti sukan lasak seperti berbasikal, ATV, paintball serta aktiviti sukan air seperti kayak dan bot kayuh.

Perak Agrotourism

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli melawat tempat pemprosesan telur masin.

Perak Agrotourism

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim mencemar duli melihat kakitangan di PETRO yang sedang menggoreng keropok.

Perak Agrotourism

YAB Menteri Besar Perak menerangkan sesuatu kepada DYMM Sultan Perak ketika lawatan ke tempat penternakan itik.

Perak

DYMM Paduka Seri Sultan Perak mencuba madu kelulut sambil diperhatikan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Perak Agrotourism

DYMM Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri Perak ketika lawatan ke chalet sekitar PATRO.

Sumber: Korporat, SUK Perak.