Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu Jimatkan Masa Perjalanan : 7 Jun 2016

Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu Jimatkan  Masa Perjalanan
YAB Menteri Besar Perak bersama-sama dif kehormat bergambar kenangan di hadapan Plaza Tol Alor Pongsu.

ALOR PONGSU, 7 JUN 2016 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr.Zambry Bin Abd Kadir bersama-sama YB Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, telah menyempurnakan perasmian Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu yang menjadi akses terus dari kawasan Alor Pongsu, Bagan Serai dan Selama bagi memasuki Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Laluan persimpangan bertingkat Alor Pongsu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dibuka bagi semua kenderaan secara rasmi mulai 7 Jun 2016 bermula jam 10 malam ini akan memberikan penjimatan masa perjalanan dari arah Utara dan Selatan ke Alor Pongsu dari 45 minit kepada 10 minit.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir berkata, pelaksanaan ini menjadi impian penduduk di kawasan sekitar Negeri Perak dan dari negeri jiran amnya.

“Kawasan sekitar juga dapat dibangunkan dengan lebih terancang selaras perancangan yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan Lembah Beriah satu lagi kawasan pertumbuhan baru di negeri ini.” kata YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir.

Hadir sama pada majlis perasmian tersebut, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan, YB Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Kerajaan Negeri, Dato’ Zainol Fadzi bin Paharuddin dan YB ADUN Alor Pongsu, Dato’ Sham Bin Mat Sahat.

Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu ini terletak di KM181.4 Lebuhraya Utara Selatan, 5.9 kilometer (km) ke arah selatan dari Persimpangan Bandar Baharu dan 12.4km ke arah utara Persimpangan Bukit Merah. Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu ini akan menyediakan akses terus dari kawasan Alor Pongsu, Bagan Serai dan Selama, Perak untuk memasuki Lebuhraya Utara Selatan. Reka bentuk persimpangan bertingkat ini jenis trumpet dan disambungkan ke Jalan Bagan Serai - Selama (FT147), Perak.

Dengan kos pembinaan kira-kira RM100 juta, persimpangan bertingkat ini juga dilengkapi dengan Tol Plaza (8 lorong iaitu 4 lorong arah keluar dan 4 arah masuk), bangunan pengawasan dan kemudahan awam seperti surau, tandas awam, wakaf, kawasan meletak kenderaan dan lain-lain untuk memberi lebih keselesaan kepada orang ramai.

Kutipan tol di Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu akan dilaksanakan secara sistem tol tertutup. Kadar tol akan dikira berdasarkan jarak perjalanan (tollable distance) yang dilalui pengguna. Kadar tol permulaan bagi kenderaan kelas 1 (kereta) adalah sebanyak RM 13.60 sen/km, sama dengan kadar tol bagi sistem tol tertutup di Lebuhraya Utara Selatan.

Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu Jimatkan  Masa Perjalanan

YAB Menteri Besar Perak bersama-sama YB  Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof ketika Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu.

Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu Jimatkan  Masa Perjalanan

YAB Dato' Seri DiRaja Dr.Zambry Bin Abd Kadir bersama-sama YB Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof menunjukkan isyarat bagus.

Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu Jimatkan  Masa Perjalanan

YB Menteri Besar Perak bersama-sama YB Menteri Kerja Raya Malaysia menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.
Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu Jimatkan  Masa Perjalanan YB Menteri Besar Perak bersama-sama dif-dif kehormat berdiri menyanyikan lagu Negaraku sebelum majlis berlangsung.
Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu Jimatkan  Masa Perjalanan YB Dato Sri Haji Fadillah memberi penerangan dan taklimat ringkas mengenai Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu  kepada YB Menteri Besar Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.