Amanat YAB Menteri Besar Perak Tahun 2014 Kepada Ketua Jabatan Negeri Dan Persekutuan – 6 Januari 2014

IPOH, 6 JANUARI 2014 - Bertempat di Aman Jaya Convention Centre 1, Casuarina@Meru Hotel, Ipoh, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir telah menyampaikan amat kepada ketua-ketua jabatan dari seluruh Negeri Perak. Seramai 120 ketua jabatan telah hadir bagi mendengar taklimat yang disampaikan YAB Menteri Besar Perak.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir dalam ucapannya turut memberi beberapa pesanan kepada ketua jabatan bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan setiap jabatan seperti mengambil tindakan pantas bagi menyelesaikan setiap sesuatu masalah yang dihadapi seperti masalah projek supaya ia tidak menjadi projek terbengkalai.

Selaras dengan langkah penjimatan perbelanjaan sektor awam yang diperkenalkan YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak, YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir juga berpesan kepada ketua jabatan agar benar-benar mematuhi bajet perbelanjaan setiap jabatan seperti mana yang dirancang bagi mengelakkan pembaziran.

Antara amanat lain yang disampaikan YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir kepada ketua jabatan ialah, rancangan pembangunan projek-projek kecil, menjaga kerahsiaan maklumat kerajaan, tidak memberi kenyataan yang tidak sepatutnya yang boleh menjejaskan pandangan masyarakat kepada pihak kerajaan, mengelakkan rasuah, konsep penghijauan bumi, mengemaskini papan iklan dan kenyataan setiap jabatan, dan memastikan desk frontliner di setiap jabatan memberi perkhidmatan yang cekap dan berkesan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang responsif.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Abdul Puhat bin Mat Nayan, YBhg. Timbalan Setiausaha Kerjaan (Pengurusan) Dato’ Haji Razali bin Othman, YBhg. Mufti Perak , Tan Sri Dato' Seri (DR) Hj. Harussani bin Hj Zakaria dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Harun bin Rawi, dan Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani bin Abdullah Sani.

Sumber : Korporat, SUK Perak.