Kontinjen SUK Perak Johan Kawad Terbaik Hari Kebangsaan Tahun 2016 : 31 Ogos 2016

SUK Perak Johan Kawad Terbaik
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli menyampaikan hadiah kepada Johan Pertandingan Kawad bagi Kategori Jabatan Kerajaan yang dimenangi oleh Kontinjen SUK Perak.

IPOH, 31 OGOS 2016 - Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak, dipilih selaku johan Kontinjen Kawad Terbaik bagi kategori Jabatan Kerajaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2016, Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh.

Kontinjen Kawad Pejabat SUK Perak dinobat selaku johan kawad bagi kategori Jabatan Kerajaan setelah memperoleh markah 96.40 peratus, manakala Jabatan Kerja Raya Negeri (JKR) menduduki tempat kedua dengan markah 95.07 peratus dan Jabatan Agama Islam berada di tempat ketiga dengan markah keseluruhan 95.03 peratus.

Kejayaan Kontinjen Kawad Pejabat SUK Perak ini lebih bermakna apabila turut dipilih selaku pemenang tempat ketiga bagi kategori Pakaian Terbaik Keseluruhan Kontinjen. Universiti Teknologi Mara, Cawangan Perak berada di tempat kedua bagi kategori sama dan Majlis Bandaraya Ipoh dipilih selaku johan pakaian terbaik setelah mempamerkan reka bentuk dan kreativiti pakaian kontinjen yang kreatif dan bersesuaian dengan tema sambutan kemerdekaan pada kali ini iaitu “Sehati, Sejiwa".

Pejabat SUK Perak menerima keseluruhan RM4,000 berserta sijil iaitu RM3,000 bagi Johan Kategori Kontinjen Kawad Terbaik dan RM1,000 bagi tempat ketiga Kontinjen Pakaian Terbaik Keseluruhan yang disampaikan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuiddin Shah di Dewan Bandaran Ipoh.

Terdahulu, DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli hadir ke pekarangan Dewan Bandaran Ipoh kira-kira jam 8.15 pagi bagi meraikan sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan 2016 bersama kira-kira 10,000 rakyat Negeri Perak. Turut berangkat mengiringi, putera dan puteri baginda, YTM Raja Kechil Besar Perak, Raja Azlan Muzaffar Shah dan YM Raja Nazira Safya.

Berangkat sama memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-59, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; DYAM Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir dan isteri, YABhg. Datin Seri Saripah Zulkifli; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan, Barisan EXCO Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan.

Acara sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2016 Peringkat Negeri Perak, bermula dengan bacaan doa sebelum persembahan nyanyian koir oleh pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tarsician Convent dan SMK Convent dengan lagu Nyalakan Tekad, Sehati Sejiwa dan Jalur Gemilang.

Majlis diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 116 kontinjen yang disertai kira-kira 6,000 peserta pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

SUK Perak Johan Kawad Terbaik DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bersama-sama dif kehormat hadir bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak.
SUK Perak Johan Kawad Terbaik Kontinjen Kawad SUK Perak ketika melalui pentas utama di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh.
SUK Perak Johan Kawad Terbaik Kontinjen Kawad dari Majlis Bandaraya Ipoh, dipilih selaku Johan bagi kategori Pakaian Terbaik Keseluruhan Kontinjen Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak.
SUK Perak Johan Kawad Terbaik DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan sumbangan kepada bekas-bekas perajurit.
SUK Perak Johan Kawad Terbaik  Orang ramai yang hadir ke pekarangan Dewan Bandaraya Ipoh seawal jam 7.00 pagi bagi menyemarakkan lagi Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-59.

Sumber : Korporat, SUK Perak.