Tangani Isu Agama Secara Bijaksana – DYMM Pemangku Sultan Perak – 14 Januari 2014

IPOH, 14 JANUARI 2014 - DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin bertitah, sejarah telah menunjukkan bahawa isu agama jika gagal ditangani secara segera dan bijaksana akan mengakibatkan perselisihan hingga merebak kepada perbalahan, mencetuskan pergaduhan dan mengakibatkan persengketaan.

“Sentimen agama tidak boleh sama sekali diizinkan untuk disensasikan oleh mana-mana pihak. Psikologi dan minda mana-mana penganut etika mempertahankan pendirian agama masing-masing wajib difahami kerana ia melibatkan unsur-unsur kesucian dan kekudusan, ia dipengaruhi dorongan dalam-dorongan spiritual, ia menyentuh emosi, ia menyentuh maruah, ia menyentuh harga diri”. titah baginda di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan 1435 Hijrah/2014 di Pusat Konvensyen Amanjaya, Meru Raya yang bertemakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”.

DYMM Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, sekiranya berlaku usaha yang mahu menodai kesucian Islam, umat Islam wajib bersatu dalam semangat ukhuwah Islamiah. Titah baginda lagi, jangan kerana kelainan kabilah politik, umat Islam memilih untuk mengambil pendirian berbeza, tidak mahu bersama mempertahankan kesucian Islam.

Pada sambutan kali ini, seramai 5 penerima anugerah dipilih dari 5 kategori, iaitu Anugerah Keluarga Mithali, Anugerah Pendakwah, Anugerah Iman, Anugerah Bilal, dan Anugerah Siak.

Mereka adalah, Othman Safie (Anugerah Keluarga Mithali), Abdul Naser Tun Abdul Rahman Ya’kub (Anugerah Pendakwah), Ramli Yusof (Anugerah Imam), Mokhri Ahmad (Anugerah Bilal) dan Adam Abdul Malik (Anugerah Siak).

Turut berangkat, DYTM Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; DYAM Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; DYAM Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Puhat Mat Nayan; YBhg. Mufti Perak, Tan Sri Dato' Seri (DR) Hj. Harussani Hj Zakaria dan Exco Kerajaan Negeri.

Sumber : Korporat, SUK Perak.