Tanamkan Sikap Cinta Kepada Bahasa Kebangsaan : 1 Disember 2016

 Tuan Haji Mad Dan bin Hassan menerima penghargaan Pihak Berkuasa Tempatan daripada YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan(Pengurusan)

 Tuan Haji Mad Dan bin Hassan menerima penghargaan Pihak Berkuasa Tempatan daripada YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan)

IPOH, 1 DISEMBER 2016 - YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Abu Bakar Bin Haji Said berkata setiap individu di negara ini perlulah menanamkan sikap cinta kepada bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dan berasa bangga menggunakannya dalam urusan seharian baik dalam sektor awam mahupun sektor swasta selaras dengan amalan seperti di negara-negara maju.

“Nilai sesuatu bahasa itu berkait rapat dengan nilai ekonomi atau kemajuan sesebuah negara. Negara yang ekonominya berkembang pesat, bahasanya juga turut berkembang dengan pesat. Contohnya, ratusan ribu masyarakat Barat berlumba-lumba untuk mempelajari bahasa Mandarin kerana Negara China telah muncul sebagai antara kuasa ekonomi dunia yang paling pesat berkembang. Begitu juga bahasa Jepun, bahasa Perancis atau bahasa Jerman dipelajari kerana negara tersebut telah menjadi negara pemaju. Semua negara ini memberi nilai ekonomi kepada bahasa mereka dengan menggunakannya dalam semua bidang.” kata YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Dato’ Abu Bakar Bin Haji Said ketika Majlis Penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan 2016 Peringkat Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan. 

Menurut beliau lagi, bahasa Melayu juga merupakan salah satu pemangkin utama dalam mewujudkan perpaduan di negara ini yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

“Hubungan antara kaum dan etnik sentiasa menjadi agenda dalam usaha kerajaan untuk mencapai keharmonian masyarakat dan keamanan negara. Saya berharap agar rakyat pelbagai kaum di negara kita dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan baik dan seterusnya memperkukuhkan perpaduan selaras dengan tema Bulan Bahasa Kebangsaan tahun ini iaitu Satu Bahasa, Satu Jiwa, Satu Bangsa”.

Di akhir ucapan, YBhg. Dato’ Abu Bakar Bin Haji Said berharap agar peneguhan sikap penggunaan bahasa hendaklah diberikan tumpuan dalam pengisian program Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan dan seharusnya dilakukan tanpa bermusim dalam usaha menanamkan rasa megah menggunakan bahasa kebangsaan.

Sekolah Menegah Poi Lam (SUWA) membuat persembahan di Majlis Penutupan Bulan Bahasa Peringkat Negeri Perak Sekolah Menegah Poi Lam (SUWA) membuat persembahan di Majlis Penutupan Bulan Bahasa Peringkat Negeri Perak.
YBhg. Dato’ Abu Bakar Bin Haji Said ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penutupan Bulan Bahasa Peringkat Negeri Perak YBhg. Dato’ Abu Bakar Bin Haji Said ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penutupan Bulan Bahasa Peringkat Negeri Perak.
YBhg. Dato' Abu Bakar bin Haji Said menyampaikan sijil  penghargaan Penggiat Bahasa dan Sastera Negeri Perak kepada Mohamed Ghozali bin Abdul Rashid YBhg. Dato' Abu Bakar bin Haji Said menyampaikan sijil  penghargaan Penggiat Bahasa dan Sastera Negeri Perak kepada Mohamed Ghozali bin Abdul Rashid.
YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) bersama hadirin yang hadir menyanyikan lagu Negaraku sempena Majlis Penutupan Bulan Bahasa YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) bersama hadirin yang hadir menyanyikan lagu Negaraku sempena Majlis Penutupan Bulan Bahasa.

 Sumber : Korporat, SUK Perak.