Bersatu Beri Perkhidmatan Kepada Rakyat – YAB Menteri Besar : 18 Januari 2017

Bersatu’

YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir menyempurnakan majlis penyerahan kotak bantuan makanan kepada penduduk-penduduk.

BAGAN DATUK, 18 JANUARI 2017 - YAB Menteri Besar Perak Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir meminta semua penjawat awam agar bersatu dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Menurut beliau, kakitangan awam merupakan tulang belakang kepada kerajaan negeri bagi mencapai setiap dasar yang ingin dilaksanakan. Sehubungan dengan itu, YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir berharap penjawat awam dapat turun ke bawah bersama-sama beliau bagi melihat masalah yang dihadapi rakyat.

“Kita adalah hamba kepada rakyat. Untuk itu kita tidak boleh menunggu rakyat untuk datang kepada kita tetapi kita yang perlu turun ke bawah bagi melihat dan merasai sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat.” kata YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir ketika Majlis Beramah Mesra Bersama Penjawat Awam Daerah Bagan Datuk di Dewan Besar Sungai Sumun sempena Program Permukiman Daerah YAB Menteri Besar.

YAB Menteri Besar Perak semasa menyampaikan ucapan beliau juga turut berharap agar penjawat awam khususnya di Daerah Bagan Datuk supaya bersatu membina ekosistem yang mantap kerana menurut beliau, sebagai daerah baharu, komitmen yang tinggi dari semua pihak diperlukan bagi memaju dan membangunkan Bagan Datuk.

Terdahulu sebelum majlis perjumpaan bersama penjawat awam, YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir menyempurnakan majlis penyerahan kotak bantuan makanan kepada penduduk-penduduk setempat di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Hutan Melintang Simpang Empat.

Pada sebelah pagi pula, wakil YAB Menteri Besar Perak, YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Dato’ Saarani bin Mohamad telah menyempurnakan majlis pelepasan benih ikan dan udang galah di Jeti Kg. Kota.

Beliau juga turut serta dalam program ziarah kasih bersama-sama YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Hajah Rusnah binti Kassim bagi melihat dan memberi bantuan kepada penduduk-penduduk kampung yang kurang berkemampuan di samping menghulurkan sumbangan berbentuk peralatan dan keperluan peribadi serta bantuan baik pulih rumah.

Sempena program Permukiman YAB Menteri Besar di Daerah Bagan Datuk, sebanyak 95 program diadakan bagi mengenal pasti keperluan, keadaan dan permasalahan rakyat.

Bersatu’

YB Dato' Hajah Rusnah binti Kassim memberi sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk kampung yang kurang berkemampuan.

Bersatu’

YB Dato' Saarani bin Mohamad dan YB Dato' Hajah Rusnah binti Kassim melihat keadaan rumah seorang penduduk kampung yang telah rosak dan perlu dibaik pulih.

Bersatu’

YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir ketika Majlis Beramah Mesra Bersama Penjawat Awam Daerah Bagan Datuk di Dewan Besar Sungai Sumun.

Bersatu’

Sebanyak 5,000 ekor udang dilepaskan ke Sungai Bernama di Kampung Kota.

Bersatu’

Penjawat-penjawat awam yang hadir ke Majlis Beramah Mesra Bersama Penjawat Awam bersama YAB Menteri Besar Perak.

Bersatu’

YB Dato' Saarani bin Mohamad menyempurnakan majlis pelepasan benih udang galah.

Sumber : Korporat, SUK Perak.