Ummah Cerminan Dan Gambaran Terhadap Sesuatu Agama – DYMM Sultan Perak : 6 Februari 2017

Ummah Cerminan Dan Gambaran Terhadap Sesuatu Agama

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika menyampaikan titah ucapan di Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

IPOH, 6 FEBRUARI 2017 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ummah memberikan cerminan dan gambaran terhadap sesuatu agama itu kerana imej dan status sesuatu agama itu tidak sekadar bergantung kepada bilangan penganutnya, tetapi turut dipengaruhi oleh faktor-faktor yang merangkumi pencapaian, kejayaan, kemajuan, kekayaan, modal intelek dan kebijaksanaan para penganutnya.

Titah baginda lagi, status intelek, sosial dan status ekonomi juga akan mempengaruhi persepsi masyarakat dunia terhadap sesuatu agama itu.

“Kuantiti yang besar hanya akan memberi makna jika dapat disusuli dengan kualiti yang tinggi. Meskipun umat Islam di Malaysia hanya berjumlah 1.1 peratus penduduk Islam di dunia, Malaysia senantiasa dijadikan sebutan sebagai negara Islam yang moden, maju, aman, makmur dan moderat. Kepimpinan Islam di Malaysia dipandang tinggi. Kebijaksanaan pemimpin Melayu melaksanakan program-program pembangunan ummah dan pembangunan negara mendapat pengiktirafan di serata dunia.” Titah DYMM Sultan Perak sempena Majlis Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Aman Jaya Convention Centre yang bertemakan ‘Mengakar Kuat Ummah Melayu, Menjunjung Tinggi Islam’.

Titah baginda, terdapat banyak contoh-contoh kepimpinan terdahulu yang menjadi bukti memperlihatkan tokoh-tokoh ulung Melayu bersama rakan-rakan seangkatan mereka yang telah mencetuskan idea dan memberikan sumbangan besar dalam memperkenalkan program untuk kesejahteraan dan kemajuan masyarakat sekali gus menjulang tinggi kehebatan Islam seperti kepimpinan Malaysia dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Tabung Haji, sistem kewangan Islam iaitu, Malaysia International Financial Centre (MIFC) dan penubuhan Centre For Education in Islamic Finance (INCEIF).

“Sebahagian mereka mungkin tidak berimej ulama, sebahagian mereka mungkin tidak pernah kelihatan menaiki mimbar untuk menyampaikan khutbah, sebahagian mereka mungkin tidak pernah mengimamkan makmum semasa bersolat atau berdoa, sebahagian mereka mungkin tidak memetik ayat al-Quran atau hadis semasa berucap, namun mereka telah berperanan besar, membantu menampung lompang-lompang kekosongan yang perlu dipenuhi untuk memperlengkapkan Islam dalam menghadapi tuntutan dunia semasa.”

Untuk merealisasikan Islam sebagai addin, iaitu cara hidup yang diredai ALLAH, umat Islam hendaklah memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang.

“Masjid diakui berperanan penting sebagai pusat induk untuk memperkembangkan Islam, tetapi masjid wajib mempunyai pengisian program yang lebih komprehensif. Ulama dan umara wajib bersifat proaktif, menerokai kawasan-kawasan di luar perkarangan masjid, kerana bumi ALLAH ini tidak membatasi kerja-kerja amal makruf dilakukan di dalam perkarangan masjid sahaja.

Islam tidak akan dapat dijulang melalui rupa bentuk dan keindahan masjid, jika masjid berfungsi sekadar ornamen hiasan, Islam tidak tersebar luas dengan kemerduan laungan azan yang digemakan dengan alat sia raya yang canggih, jika selepas berhimpun di masjid, bangsa tidak punya jiwa merdeka, bangsa masih mengemis ihsan, bangsa masih berjiwa hamba, bangsa sanggup menjadi abdi kepada harta, pangkat, gelaran dan jawatan lalu merestui berlakunya kemungkaran dan gentar menegakkan yang makruf.” Titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut berangkat ke majlis tersebut, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan.

Ummah Cerminan Dan Gambaran Terhadap Sesuatu Agama

DYMM Sultan Perak bersama DYMM Raja Permaisuri Perak bersama-sama dif-dif kehormat yang hadir ke Majlis Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Ummah Cerminan Dan Gambaran Terhadap Sesuatu Agama

Keberangkatan DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke majlis turut diiringi DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Ummah Cerminan Dan Gambaran Terhadap Sesuatu Agama

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersalaman dan beramah mesra bersama-sama tetamu jemputan yang hadir di Aman Jaya Convention Centre.

Ummah Cerminan Dan Gambaran Terhadap Sesuatu Agama

Keberangkatan tiba DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah ke Majlis Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Aman Jaya Convention Centre.

Ummah Cerminan Dan Gambaran Terhadap Sesuatu Agama

YAB Menteri Besar Perak dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri menyambut keberangkatan tiba DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Sumber : Korporat, SUK Perak.