Majlis Penutup Kejohanan Sukan SUK Perak 2017 : 25 Februari 2017

Majlis Penutup Kejohanan Sukan Suk Perak 2017

YAB Menteri Besar Perak menyampaikan hadiah kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak selaku johan keseluruhan.

25 FEBRUARI 2017, IPOH - Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak mengungguli Kejohanan Sukan SUK Perak 2017 apabila menjadi johan kesemua tiga acara sukan yang dipertandingkan, sekali gus dinobatkan selaku juara keseluruhan bagi membawa pulang wang tunai RM 5,000.00 berserta piala pusingan kejohanan.

SUK Perak mengumpul 45 jumlah mata keseluruhan setelah menjadi johan dan mengalahkan lawan masing-masing bagi acara bola sepak, bola jaring dan sepak takraw.

Kejayaan lebih bermakna apabila ketiga-tiga pemain dari Pejabat SUK Perak iaitu Mohd Putra Alif Othman (Bola Sepak), Meor Ahmad Zulfikar Mat Amin (Sepak Takraw) dan Nor Sakinah Ramli (Bola Jaring) dipilih selaku pemain terbaik kejohanan.

Majlis Perbandaran Taiping menjadi naib johan Kejohanan Sukan SUK Perak 2017 yang julung kali diadakan dengan membawa pulang RM 3,000.00 dan piala setelah berjaya mengumpul 10mata.

Majlis Daerah Batu Gajah dan Majlis Perbandaran Teluk Intan sekadar berpuas hati berada di tempat ketiga setelah masing-masing mengumpul sebanyak 7 jumlah mata bagi melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM 1,000.00 dan piala.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir di Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan SUK Perak 2017 yang berlangsung di Dewan Persatuan Bulan Sabit Merah, Ipoh.

YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir semasa menyampaikan ucapan di majlis berkenaan berharap agar Kejohanan Sukan SUK Perak 2017 ini bukan hanya sekadar pertandingan sukan sebaliknya dijadikan tempat untuk membina hubungan akrab antara satu jabatan dan jabatan yang lain.

“ Di sinilah waktunya saling kita dapat berhubungan, merapat-rapatkan hubungan, untuk kita saling mengenali antara satu sama lain. Sukan bukan hanya waktu untuk kita berlawan, tetapi juga waktu untuk kita saling berhubungan, mengenali dan yang paling penting adalah membina, kesatuan, kesalingan di kalangan kita semua. Solidariti di kalangan kita ini sangat-sangat penting untuk kita terapkan.” kata YAB Menteri Besar Perak.

Kejohanan Sukan SUK Perak 2017 merupakan penganjuran kali pertama di mana Pejabat SUK Negeri Perak menjadi tuan rumah pada kejohanan sulung ini. Kejohanan ini berlangsung secara berperingkat dan untuk peringkat kumpulan pada 17 hingga 19 Februari 2017 manakala peringkat kedua iaitu suku akhir, separuh akhir dan akhir berlangsung pada 25 dan 26 Februari 2017.

Sebanyak 18 pasukan yang melibatkan hampir seribu orang atlet menyertai kejohanan ini yang terdiri dari Pejabat SUK, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) dan Akhir Sekali Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Terdapat juga beberapa Daerah atau PBT yang mempunyai bilangan kakitangan yang agak terhad untuk bergabung menjadi sebuah pasukan.

Berikut adalah keputusan penuh kejohanan : -

Bola Jaring

  1. Pejabat SUK Perak -  RM 2,000.00, Piala dan Medal
  2. Majlis Daerah Batu Gajah -  RM 1,500.00, Piala dan Medal
  3. Majlis Bandaraya Ipoh - RM 1,000.00, Piala dan Medal

Takraw

  1. Pejabat SUK Perak - RM 2,000.00, Piala dan Medal
  2. Majlis Perbandaran Taiping - RM 1,500.00, Piala dan Medal
  3. Daerah Batang Padang - RM 1,000.00, Piala dan Medal

Bola Sepak

  1. Pejabat SUK Perak -   RM 2,500.00, Piala dan Medal
  2. Majlis Perbandaran Teluk Intan - RM 2,000.00, Piala dan Medal
  3. Majlis Perbandaran Taiping - RM1,500.00, Piala dan Medal

 

Majlis Penutup Kejohanan Sukan Suk Perak 2017

YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penutup Kejohanan Sukan SUK Perak 2017.

Majlis Penutup Kejohanan Sukan Suk Perak 2017

Pasukan Sepak Takraw dari SUK Perak yang muncul johan setelah menewaskan regu Majlis Perbandaran Taiping.

Majlis Penutup Kejohanan Sukan Suk Perak 2017

Pasukan Bola Sepak SUK Perak dinobatkan selaku johan setelah menewaskan Majlis Perbandaran Teluk Intan dengan jaringan 1 berbalas 0.

Majlis Penutup Kejohanan Sukan Suk Perak 2017

YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir menyampaikan cenderamata kepada ketua-ketua kontinjen yang mengambil bahagian.

Majlis Penutup Kejohanan Sukan Suk Perak 2017

 Pasukan  bola jaring SUK Perak muncul juara setelah menewaskan Majlis Daerah Batu Gajah pada perlawanan akhir.

Sumber : Korporat, SUK Perak.