PPA1M Beri Peluang Penjawat Awam Miliki Rumah Sendiri : 3 Mac 2017

PPA1M Beri Peluang Penjawat Awam Miliki Rumah Sendiri

YAB Menteri Besar Perak menyampaikan ucapan perasmian projek perumahan penjawat awam 1Malaysia.

3 MAC 2017, IPOH - Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang bakal dibina di Pengkalan dilihat memberi peluang kepada penjawat awam negeri ini untuk memiliki rumah sendiri yang selesa dengan harga lebih murah.

Projek yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 51.40 ekar dengan kos bernilai hampir RM 75 juta ini dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2018.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan berkata, projek PPA1M Pengkalan ini membabitkan pembinaan 72 unit rumah teres bertingkat seluas 1250 kaki persegi, 96 unit apartment berkeluasan 1,000 kaki persegi dan 192 unit apartmen berkeluasan 850 kaki persegi.

“Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) telah melakukan transformasi dalaman untuk melaksanakan projek-projek terutama yang melibatkan kakitangan kerajaan.

Pada masa ini, kita sedang mengadakan projek-projek di antaranya pembinaan 100 unit kuarters di Manjung dan pada tahun sudah juga kita telah membina hampir 1,000 unit rumah yang berharga antara RM 70,000 – RM 80,000 di Mukim Ulu Kinta.

Sehubungan dengan ini pihak SSI telah merangka beberapa projek dan termasuklah yang kita akan lancarkan pada hari ini, selaras dengan hasrat YAB Menteri Besar Perak untuk memberi kemudahan terutamanya kepada kakitangan awam untuk memiliki rumah ataupun kediaman sendiri.”  kata YB Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan ketika memberi ucapan sempena Majlis Pecah Tanah Tapak Projek PPA1M di Pengkalan  yang  disempurnakan YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir.

Menurut YB Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan, projek PPA1M ini merupakan usaha sama dengan syarikat Utusan Variasi Sdn. Bhd. dan unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Jabatan Perdana Menteri.

“Semua kemudahan ini disediakan di lokasi-lokasi yang telah dilengkapi dengan infrastruktur. Kesemua harga-harga rumah yang ditawarkan juga adalah mendapat subsidi yang diperuntukkan di bawah PPA1M yang berjumlah hampir RM 14 juta ringgit.” kata YB Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan.

Turut hadir pada majlis tersebut YB. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Hajah Rusnah binti Kassim.

PPA1M Beri Peluang Penjawat Awam Miliki Rumah Sendiri

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan menyampaikan ucapan di Majlis Pecah Tanah PPA1M di Pengkalan.

PPA1M Beri Peluang Penjawat Awam Miliki Rumah Sendiri

YAB Menteri Besar Perak bersama YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mendengar penerangan daripada pihak SSI.

PPA1M Beri Peluang Penjawat Awam Miliki Rumah Sendiri

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan menyampaikan buku cenderahati kepada YAB Menteri Besar Perak.

PPA1M Beri Peluang Penjawat Awam Miliki Rumah Sendiri

YAB Menteri Besar Perak menyempurnakan gimik perasmian pecah tanah PPA1M di Pengkalan Ipoh.

Sumber : Korporat, SUK Perak.