Majlis Pelancaran Projek Kajian HIMIS : 30 Mac 2017

Majlis Pelancaran Projek Kajian HIMIS

YB Dato' Nolee Ashilin Binti Dato' Mohammed Radzi bergambar bersama dif-dif kehormat dan penerima sijil CISAM.

IPOH, 30 MAC 2017 - CyberSecurity Malaysia, pusat pakar siber nasional, dengan sokongan serta kerjasama Kerajaan Negeri Perak telah melancarkan Projek Kajian Pengurusan Impak Manusia Dalam Keselamatan Maklumat atau Human Impact Management System for Information Security (HIMIS) bagi menilai dan mengurus tahap kefahaman tenaga kerja sektor awam di Malaysia mengenai keselamatan siber.

Selain itu, projek ini juga bertujuan mengurangkan risiko terutama bagi kakitangan sektor awam di seluruh negara menjadi mangsa jenayah siber.

Majlis pelancaran Projek Kajian HIMIS disempurnakan oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Binti Mohammed Radzi di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan sempena Seminar Kesedaran Keselamatan ICT Peringkat Negeri Perak.

“Risiko keselamatan maklumat kepada Kerajaan berpunca daripada kelemahan faktor manusia. Bagi mengurangkan risiko tersebut, penjawat awam perlu diberi pendedahan dan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan maklumat serta amalan terbaik keselamatan siber. Mereka perlu berubah dengan mengamalkan tingkah laku serta etika penggunaan Internet secara positif.” kata YB Dato’ Nolee Ashilin Binti Mohammed Radzi.

Menurut beliau lagi, projek HIMIS menjadi platform untuk mendedahkan penjawat awam khususnya di Negeri Perak dalam memperkasakan diri mereka mengenai pengurusan keselamatan maklumat agar dapat bertingkah laku secara positif dalam penghasilan mutu kerja yang berkualiti serta produktif.

“Penjawat awam Negeri Perak harus memandang serius akan perkara ini dengan mengambil inisiatif untuk melengkapkan diri mereka dengan ilmu keselamatan siber, mengamalkan tingkah laku serta etika penggunaan Internet yang positif dalam kehidupan seharian.” kata YB Dato’ Nolee Ashilin Binti Mohammed Radzi.

Sementara itu, YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia, Dato’ Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab berkata, setakat ini iaitu sehingga Februari 2017, pihaknya telah menerima sebanyak 1223 kes penyalahgunaan alam maya dan separuh daripadanya melibatkan gangguan siber dengan 529 kes.

Menurut YBhg. Dato’ Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab lagi, selain gangguan siber, ancaman utama lain pengguna Internet di seluruh negara ialah pencerobohan, kod jahat dan pembuli siber.

Selain Seminar Kesedaran Keselamatan ICT, turut diadakan pada majlis tersebut ialah kempen aku janji tular atau #myviralvow, iaitu satu kempen yang dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia dalam memperkasa kefahaman orang ramai mengenai isu tular yang semakin berleluasa melalui laman media sosial.

Melalui kempen ini, warga digital digesa agar menjadikan Internet sebagai platform pengumpulan ilmu yang berguna, mengamalkan tatacara penggunaan Internet secara positif, beretika serta bertanggungjawab terhadap sesuatu tindakan yang diambil terutama dalam penyebaran dan perkongsian maklumat serta visual.

Majlis Pelancaran Projek Kajian HIMIS

YB Dato' Nolee Ashilin Binti Dato' Mohammed Radzi mendengar penerangan daripada agensi-agensi ketika lawatan beliau ke pameran-pameran yang diadakan sempena seminar tersebut.

Majlis Pelancaran Projek Kajian HIMIS

YB Dato' Nolee Ashilin Binti Mohammed Radzi menyerahkan sijil Certified Information Security Awareness Manager (CISAM) kepada Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Maklumat, Puan Fatimah Binti Ghazali.

Majlis Pelancaran Projek Kajian HIMIS

YB Dato' Nolee Ashilin Binti Dato' Mohammed Radzi bergambar bersama-sama dif kehormat dan para hadirin di sesi bergambar #myviralvow

Majlis Pelancaran Projek Kajian HIMIS

Encik Jazzanul Azriq Aripin, penceramah kedua di sesi pembentangan CyberSafe@Work.

Majlis Pelancaran Projek Kajian HIMIS

Lt. Kol (B) Mustaffa Ahmad, Naib Presiden Kanan, Bahagian Outreach & Pembangunan Kapasiti, CyberSecurity Malaysia ketika pembentangan pertama iaitu HIMIS.

Sumber : Korporat, SUK Perak.