DYMM Sultan Perak Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang DUN Perak Ke-13 : 4 April 2017

DYMM Sultan Perak Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dun Perak Ke-13

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir menyembahkan warkah Titah DiRaja ke hadapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak.

IPOH, 4 APRIL 2017 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri ( DUN ) Perak Darul Ridzuan Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Keberangkatan baginda bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim kira-kira jam 9.30 pagi disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir dan Yang Dipertua Dewan Negeri, YB S. Thangeswary dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan.

Sebaik keberangkatan tiba baginda di Dataran SUK Perak, Pancaragam Polis DiRaja Malaysia Cawangan Kedah yang dipimpin Inspektor Mohd. Noor Effendi Bin Mohd Yusof dan dianggotai seramai 63 orang pegawai memainkan lagu Kebesaran Negeri Perak.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kemudiannya berkenan mencemar duli memeriksa perbarisan Pasukan Kawalan Kehormatan daripada Batalion Pertama Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta Perak yang diketuai Deputi Supritendan Muhamad Nazri Ramli dan dianggotai oleh seramai 102 anggota lain-lain pangkat.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Tuanku Zara Salim seterusnya berangkat masuk ke Dewan Mesyuarat kira-kira jam 10.10 pagi bagi menzahirkan titah ucapan perasmian baginda sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-13.

Di dalam titah baginda, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan baginda kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB yang telah melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada Negeri Perak Darul Ridzuan sehingga memperoleh berbagai pengiktirafan.

“Kerajaan Beta, diiktiraf antara pentadbiran negeri terbaik dalam tadbir urus kewangan.  Sebelas jabatan dan agensi, dianugerahkan pengiktirafan tertinggi lima bintang, Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan dalam Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan yang berlangsung pada 22 Ogos 2016.”

“Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, mendapat pengiktirafan Inovasi Zakat Terbaik (Kutipan) sempena Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan.  Pejabat Pengarah Tanah dan Galian mendapat tempat pertama Anugerah Ketua Setiausaha Negara dalam Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam, melalui inovasi penambahbaikan sistem kerja untuk menangani masalah  pengeksportan secara haram bahan batuan dan mineral.  Majlis Bandaraya Ipoh mendapat anugerah Naib Johan Inovasi Sektor Awam melalui kempen ‘Hari Tanpa Kereta’ untuk program pemuliharaan alam sekitar, dan Ladang Rancangan Tanah Berkelompok Pulau Tiga yang diusahakan oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak, yang berjaya menghasilkan tiga puluh dua (32) tan metrik sehektar, menerima Anugerah Industri Sawit Malaysia kategori pencapaian hasil tertinggi di Semenanjung Malaysia.” titah DYMM Sultan Perak.

“Beta menghargai peranan ahli-ahli Dewan Negeri, ahli-ahli Dewan Negara, Orang Besar Negeri, anggota Perkhidmatan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Pegawai Majlis Agama dan Pentadbir Agama Islam, Penghulu, Imam dan Pegawai Masjid, pemimpin-pemimpin agama, kaum dan masyarakat,  badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, badan-badan sukan, pertubuhan-pertubuhan belia, tidak ketinggalan pihak swasta yang saling bekerjasama melaksanakan tanggung jawab, memenuhi amanah untuk membangun dan memajukan negeri.” titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di akhir ucapan perasmian baginda.

DYMM Sultan Perak Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dun Perak Ke-13

Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri Perak bersalaman bersama DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan.

DYMM Sultan Perak Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dun Perak Ke-13

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli hadir ke Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat DUN Negeri Perak Ke-13.

DYMM Sultan Perak Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dun Perak Ke-13

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli memeriksa perbarisan Pasukan Kawalan Kehormatan daripada Batalion Pertama Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.