DYMM Sultan Perak Rasmi Klinik Kesihatan Lenggong : 27 April 2017

DYMM Sultan Perak Rasmi Klinik Kesihatan Lenggong

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli menandatangani buku kehadiran Klinik Kesihatan Lenggong sambil diperhatikan YB Menteri Kesihatan Malaysia, Dato' Seri Dr. S.Subramaniam.

LENGGONG, 27 APRIL 2017 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli bagi merasmikan Klinik Kesihatan Lenggong yang dibina dengan kos keseluruhan sebanyak RM 32.4 juta bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat.

Turut berangkat ke majlis perasmian berkenaan, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan DYTM Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan DYTM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd. Kadir; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan dan YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional Dan Kampung Baharu, Dato’ Dr Mah Hang Soon.

Klinik Kesihatan Lenggong adalah di bawah pentadbiran Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak yang telah dibina di bawah perancangan RMK10, bersesuaian dengan perkembangan perkhidmatan kesihatan dan pertambahan bilangan penduduk.

Klinik Kesihatan Lenggong terletak di dalam Daerah Kecil Lenggong dengan keluasan tapak 8.0 ekar. Ianya bermula dengan upacara pecah tanah pada 22 Januari 2011 dan mula beroperasi sepenuhnya pada 3 Februari 2014.

Kawasan operasi Klinik Kesihatan Lenggong merangkumi 3 buah mukim iaitu mukim Durian, Pipit, Lenggong dan Temelong, Daerah Kecil Lenggong juga mempunyai 19 buah kampung di sekitarnya dengan anggaran kepadatan penduduk sekitar 25,447 orang.

Pembinaan Klinik Kesihatan Lenggong telah mencapai objektif Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan primier yang komprehensif dengan pendekatan One Stop Centre kepada masyarakat.

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah perkhidmatan pesakit luar & kecemasan, perkhidmatan penjagaan ibu & kanak-kanak, pusat bersalin risiko rendah (ABC), perkhidmatan sokongan seperti farmasi, makmal, rehabilitasi, sains pemakanan, inspektorat dan kesihatan awam serta klinik pergigian.

Klinik Kesihatan Lenggong juga telah mula melaksanakan Konsep Doktor Keluarga mulai Januari 2017 di mana individu dan keluarga mendapat rawatan yang berterusan daripada doktor keluarga secara holistik dan komprehensif.

DYMM Sultan Perak Rasmi Klinik Kesihatan Lenggong

Kakitangan Klinik Kesihatan Lenggong menyambut keberangkatan tiba DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

DYMM Sultan Perak Rasmi Klinik Kesihatan Lenggong

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli menandatangani plak sebagai gimik perasmian Klinik Kesihatan Lenggong.

DYMM Sultan Perak Rasmi Klinik Kesihatan Lenggong

DYMM Sultan Perak bersama DYMM Raja Permaisuri Perak mencemar duli melawat pameran-pameran yang diadakan.

DYMM Sultan Perak Rasmi Klinik Kesihatan Lenggong

DYMM Sultan Perak melafazkan Lafaz Perasmian Klinik Kesihatan Lenggong.
DYMM Sultan Perak Rasmi Klinik Kesihatan Lenggong Kakitangan Klinik Kesihatan Lenggong bergambar bersama DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan dif-dif kehormat.

Sumber : Korporat, SUK Perak.