Kerajaan Negeri Rancang Bina Rumah Amanjaya Di Lokasi Strategik : 15 Mei 2017

Kerajaan Negeri Rancang Bina Rumah Amanjaya Di Lokasi Strategik

YB Dato' Rusnah Binti Kassim menyampaikan ucapan sempena Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Amanjaya di Trolak dan Ulu Bernam.

TROLAK, 15 MEI 2017 - Bagi memenuhi keperluan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah memiliki rumah, Kerajaan Negeri Perak merancang membina ,1200 unit Rumah Amanjaya di lokasi yang strategik secara berperingkat setiap daerah melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).

YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Rusnah Binti Kassim berkata, LPHP menetapkan dasar iaitu setiap projek perumahan rakyat perlu ada kuota untuk belia, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan semua yang berkelayakan mampu memiliki rumah.

YB , Dato’ Rusnah Binti Kassim berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Amanjaya di Trolak dan Ulu Bernam di daerah Muallim.

Pada majlis tersebut, YB Dato’ Rusnah Binti Kassim turut mengumumkan 100 unit Rumah Amanjaya dibina di Trolak dan 80 unit dibina dekat Ulu Bernam berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Slim River yang akan dijual pada harga RM70,000 seunit selepas menerima subsidi kerajaan.

Rumah Amanjaya yang bakal dibina berkeluasan 860 kaki per segi lengkap dengan ruang tamu, ruang makan, dapur, 3 bilik tidur dan 2 buah tandas. Kerajaan negeri memperuntukkan tanah seluas 10.6 ekar bagi pembinaan Rumah Amanjaya di Trolak manakala bagi tapak projek Ulu Bernam seluas 3.5 ekar.

Turut hadir pada majlis pecah tanah tersebut, YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Dato’ Dr Mah Hang Soon dan Pegawai Daerah Muallim, Nor Sham Rahman.

Rumah Amanjaya di Trolak dan Ulu Bernam dijangka bermula pembinaannya pada Julai tahun ini dan akan diberi keutamaan kepada rakyat Negeri Perak yang belum memiliki rumah, pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000, berusia 18 tahun ke atas dan hanya satu permohonan bagi setiap keluarga.

Kerajaan Negeri Rancang Bina Rumah Amanjaya Di Lokasi Strategik

YB Dato' Rusnah Binti Kassim melihat model Rumah Amanjaya yang bakal dibina di atas tanah berkeluasan 10.6 ekar.

Kerajaan Negeri Rancang Bina Rumah Amanjaya Di Lokasi Strategik

YB Dato' Rusnah Binti Kassim menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Rumah Amanjaya Trolak dan Ulu Bernam.

Kerajaan Negeri Rancang Bina Rumah Amanjaya Di Lokasi Strategik

Model Rumah Amanjaya yang berkeluasa 860 kaki persegi yang mempunyai 3 bilik tidur bagi kemudahan pemiliknya.

Kerajaan Negeri Rancang Bina Rumah Amanjaya Di Lokasi Strategik

Orang ramai yang hadir sempena majlis pecah tanah tersebut.

Kerajaan Negeri Rancang Bina Rumah Amanjaya Di Lokasi Strategik

Tapak projek Rumah Amanjaya yang terletak di Trolak, Daerah Muallim.

Sumber : Korporat, SUK Perak.