Anugerah Sukan Negeri Perak Tahun 2015/2016 : 19 Mei 2017

Anugerah Sukan Negeri Perak Tahun 2015/2016

Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Bin Ismail dan penerjun negara, Cheong Jun Hoong dipilih selaku Olahragawan dan Olahragawati Perak.

IPOH, 19 MEI 2017 - Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Bin Ismail dan penerjun negara, Cheong Jun Hoong masing-masing dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Perak bagi 2015/2016 bersempena dengan Majlis Anugerah Sukan Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2015/2016 yang diadakan di Hotel Casuarina@ Meru.

Kemenangan itu melayakkan mereka, masing-masing menerima piala pusingan, trofi, blazer dan wang tunai RM7,000 yang disampaikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah.

Muhammad Hakimi dipilih setelah berjaya memperoleh pelbagai kejayaan sewaktu mewakili negara seperti, Pingat Emas Kejohanan Canberra Track Classics 2015, Pingat Emas Brisbane Track Classics 2015, Tempat Ke-4 World Iniversity Games 2015, Pingat Emas Sea Games 2015 (Rekod Baru ), Pingat Emas Terbuka Malaysia 2015, Pingat Emas Terbuka Singapura 2016 dan Pingat Emas Terbuka Kazakhtan 2016.

Manakala Jun Hoong pula antara kejayaan yang dicapai beliau adalah, Pingat Gangsa dalam Asian Diving Cup ( KL, Malaysia ) dalam acara 3m Papan Anjal Individu, Pingat Emas Sea Games (Singapura ) 3m Papan Anjal Individu, pingat perak acara 10m platform seirama pada Sukan Olimpik Rio 2016 dan Pingat Perak acara 10m Platform Seirama di FINA Diving World Cup.

Penembak negara, Ahmad Khusyairi Bin Abdul Razak pula dipilih sebagai Olahragawan Harapan dan atlet olahraga, Noor Eewan Syafiqah Binti Mohd Sabri sebagai Olahragawati Harapan.

Bagi Anugerah Keluarga Sukan pula, diterima oleh Badrul Hamidi Gam yang merupakan bekas atlet tenpin bowling yang kini disertai anak-anaknya Syaidatul Afyna dan Syaidatul 'Afifah.

Bagi Pasukan Terbaik, dimenangi pasukan ragbi Perak setelah menerima pingat emas bagi Kejohanan Ragbi Piala Agong dan Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan pada 2016.

Pasukan Bola Sepak Lelaki Sukma dan Pasukan 4x100M (Wanita) Sukma pula menerima Anugerah Khas Kecemerlangan 2015/2016. 

Sementara itu, anugerah kepimpinan sukan dimenangi Tang Choo Meng yang juga jurulatih dan pentadbir olahraga Perak dan negara serta Anugerah Jurulatih Terbaik diberikan kepada bekas jurulatih Kebangsaan K.Jayabalan.

Manakala bagi Anugerah Jasamu Dikenang, dimenangi Chow Chew Chun (Shirley) yang merupakan bekas atlet tenpin bowling.

Anugerah media dianugerahkan kepada Penerbit Rancangan RTM Perak (Perakfm), Saiful Nawab Sabran.

Turut berangkat mencemar duli pada majlis tersebut, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Dato’ Seri Abdul Puhat  Bin Mat Nayan dan YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Shahrul Zaman Bin Yahaya.

Anugerah Sukan Negeri Perak Tahun 2015/2016

DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri Perak mencemar duli bergambar kenangan bersama dif-dif jemputan yang hadir.

Anugerah Sukan Negeri Perak Tahun 2015/2016

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah beramah mesra bersama bekas pemain badminton negara kelahiran anak Perak, Cheah Soon Kit.

Anugerah Sukan Negeri Perak Tahun 2015/2016

DYMM Sultan Perak mencemar duli beramah mesra bersama atlet-atlet yang hadir ke Anugerah Sukan Negeri Perak.

Anugerah Sukan Negeri Perak Tahun 2015/2016

Pasukan Bola Sepak Lelaki Sukma Perak menerima Anugerah Khas Kecemerlangan.

Anugerah Sukan Negeri Perak Tahun 2015/2016

Penembak negara, Ahmad Khusyairi Abdul Razak dipilih selaku Olahragawan Harapan,  manakala atlet olahraga, Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri sebagai Olahragawati Harapan.
Anugerah Sukan Negeri Perak Tahun 2015/2016 YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan menyampaikan Anugerah Media  kepada Penerbit Rancangan RTM Perak (Perakfm), Saiful Nawab Sabran.

Sumber : Korporat, SUK Perak.