Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 1438H/2017M : 25 Jun 2017

Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Perak

DYMM Paduka Seri Sultan Perak bersama DYMM Raja Permaisuri Perak berkenan berkenan mencemar duli menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim.

IPOH, 25 JUN 2017 - Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 1438H/2017M yang diadakan di kediaman rasmi YAB Menteri Besar Perak bermula pada jam 2.30 petang hingga 6.00 petang disambut meriah apabila menerima kunjungan hampir 20,000 rakyat berbilang agama dan bangsa bagi memeriahkan sambutan 1 Syawal 1438H/2017M.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir dan isteri, YABhg. Datin Seri DiRaja, Saripah Zulkifli turut menyampaikan duit raya kepada pengunjung yang hadir bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada kali ini.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berangkat hadir bagi memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2017. Baginda turut berkenan mencemar duli menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim dan golongan kurang upaya pada majlis sambutan rumah terbuka tersebut.

Turut berangkat, ke sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2017, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan, dan barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Terdahulu sebelum berlangsungnya sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2017, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama kira-kira 2,000 orang jemaah di Masjid Ubudiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Turut serta YAB Menteri Besar Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir, barisan Exco kerajaan negeri dan pembesar negeri.

Sebaik selesai menunaikan solat sunat berkenaan, baginda menziarahi pusara beberapa kerabat termasuk ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al-Maghfur-Lah di Makam Diraja yang terletak bersebelahan dengan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.

Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Perak

Orang ramai termasuk kanak-kanak tidak melepaskan peluang bersalaman bersama DYMM Paduka Seri Sultan Perak.

Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Perak

Orang ramai menyambut keberangkatan, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Perak

DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah bersama DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bersalaman dan beramah mesra dengan tetamu yang hadir.

Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Perak

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir dan isteri menyampaikan duit raya kepada tetamu yang hadir.

Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Perak

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir bergambar bersama tetamu berbilang bangsa yang hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2017.

Sumber : Korporat, SUK Perak.