PTG Negeri Kutip Hasil Tanah RM626.1 Juta Pada 2016, Tertinggi Dalam Sejarah Perak : 10 Ogos 2017

PTG Negeri Kutip Hasil Tanah RM626.1 Juta Pada 2016, Tertinggi Dalam Sejarah Perak

YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abdul Kadir berucap dalam majlis ramah mesra anjuran PTG Perak.

IPOH, 10 OGOS 2017 - Perak mencatatkan kutipan hasil tanah sebanyak RM626.1 juta pada 2016 sekali gus berjaya mengatasi jumlah yang direkodkan pada 2015 iaitu RM574.2 juta.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, YBrs Tuan Rumaizi Bin Baharin @ Md Daud berkata, peningkatan itu berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk kutipan terhadap hasil mineral dan pasir sebanyak RM128 juta selain tunggakan cukai tanah yang berjumlah lebih RM20 juta. 

Menurut beliau, kejayaan meningkatkan jumlah kutipan hasil tanah itu juga disebabkan komitmen tinggi yang ditonjolkan kakitangan PTG negeri dalam memastikan perkara itu dapat direalisasikan. 

"Jumlah kutipan sebanyak RM626.1 juta yang diperoleh pada 2016 merupakan paling tinggi pernah direkodkan dalam sejarah negeri.

"Untuk makluman umum juga, jumlah yang berjaya diperoleh itu mewakili 61 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil negeri iaitu sebanyak RM1.12 bilion," kata beliau ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Menteri Besar Perak dan Anggota-Anggota Pentadbiran Tanah Negeri di Casuarina@Meru Hotel.

Terdahulu, majlis yang dihadiri lebih 1,000 kakitangan PTG Perak itu telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir. 

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan.

Mengulas mengenai kutipan hasil tanah sejak awal 2017 hingga kini, katanya, sebanyak RM415 juta telah berjaya dikutip dan ia mungkin mengatasi jumlah yang direkodkan pada 2016.

"Sehingga semalam, kutipan sudah cecah lebih kurang 69.2 peratus bersamaan RM 415 juta dan kita percaya ia akan meningkat lagi sekali gus melepasi jumlah yang direkodkan pada tahun 2016," katanya. 

Sementara itu, YAB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir berkata, pihaknya amat menghargai usaha yang dilakukan PTG Negeri dalam memastikan jumlah kutipan hasil tanah meningkat khususnya pada 2016.

Katanya, peningkatan jumlah kutipan hasil tanah itu turut menyebabkan beberapa negeri cuba menjadikan Perak sebagai rujukan bagi perkara berkenaan. 

"Ini semua hasil daripada usaha dan pendekatan yang dilakukan kakitangan PTG Negeri dan kita harap peningkatan ini akan terus berlaku setiap tahun sekali gus meningkatkan hasil pendapatan negeri," katanya.

PTG Negeri Kutip Hasil Tanah RM626.1 Juta Pada 2016, Tertinggi Dalam Sejarah Perak

YBrs Tuan Rumaizi Bin Baharin @ Md. Daud ketika berucap dalam majlis ramah mesra berkenaan.

PTG Negeri Kutip Hasil Tanah RM626.1 Juta Pada 2016, Tertinggi Dalam Sejarah Perak

YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir dan YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan beramah mesra dengan kakitangan PTG Perak dalam majlis ramah mesra tersebut.

PTG Negeri Kutip Hasil Tanah RM626.1 Juta Pada 2016, Tertinggi Dalam Sejarah Perak

YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir bersama sebahagian besar kakitangan PTG Perak di majlis ramah mesra yang diadakan.

PTG Negeri Kutip Hasil Tanah RM626.1 Juta Pada 2016, Tertinggi Dalam Sejarah Perak

YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir dan YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan ceria bergambar bersama kumpulan koir PTG Perak di majlis yang diadakan.

PTG Negeri Kutip Hasil Tanah RM626.1 Juta Pada 2016, Tertinggi Dalam Sejarah Perak

YAB Dato' Seri Zambry Bin Abd Kadir bersama-sama kakitangan PTG Perak memilih juadah yang dihidangkan dalam majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.