DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi CPPC : 22 Ogos 2017

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi CPPC

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Agroto Business (M) Sdn Bhd (Agroto).

IPOH, 22 OGOS 2017 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) tanaman di Agroto, Kinta Highlands di KM19, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Hadir sama Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir dan isteri, YBhg Datin Seri Diraja Saripah Binti Zulkifli serta Pengerusi Agroto, YB Dato’ Ahmad Shalimin Ahmad Shafie.

Baginda berdua serta tetamu kehormat turut meluangkan masa melawat CPPC, tapak semaian, pusat penanaman anggur, rumah pam baja, pusat penanaman 'Green and Red Coral House' dan ladang sayuran.

CPPC dikelolakan oleh Agroto Business (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat yang ditubuhkan hasil usaha sama antara kerajaan negeri Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Perak dengan Bumper Orchard (M) Sdn Bhd.

Sementara itu, YB Dato’ Ahmad Shalimin berkata CPPC yang berkeluasan 60,000 kaki persegi dibangunkan di atas tanah seluas 1,052 hektar dengan ketinggian 1,500 meter dari paras laut, menggabungkan konsep teknologi pertanian moden serta tradisional melalui konsep penanaman rumah hijau dan secara terbuka.

Katanya, CPPC dilengkapi pelbagai kemudahan dengan teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti dalam operasi Agroto antaranya penggunaan mesin penggredan tomato bagi mengasingkan hasil tanaman itu mengikut saiz.

"Penggunaan mesin ini sudah pasti dapat mempercepatkan masa pengelasan tomato di samping lebih efisien dalam menjimatkan tenaga kerja dan sekali gus lebih menjamin keberkesanan kos," katanya.

Beliau berkata dengan adanya pusat tersebut, operasi Agroto dijalankan di bawah satu bumbung sekali gus memudahkan serta mempercepatkan proses pengeluaran sebelum hasil sayuran dihantar ke pasaran tempatan atau antarabangsa.

Katanya pembukaan ladang agroto itu juga dapat meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat tempatan kerana daripada kira-kira 361 pekerja yang ada sekarang, sebahagian besar merupakan anak jati negeri Perak.

Menurut beliau, Agroto turut menerima pengiktirafan dan pensijilan ISO, Bahagian Pengendalian Kritikal dan Analisis Bahaya (HACCP) serta Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi CPPC

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Tuanku Zara Salim tiba di Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Agroto Business (M) Sdn Bhd (Agroto).

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi CPPC

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melawat di kilang pembungkusan tomato.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi CPPC

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam lawatan di kebun red coral.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi CPPC

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah teruja dan berpuas hati dengan hasil tanaman yang dikeluarkan di CPPC.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Rasmi CPPC

DYMM Tuanku Zara Salim bersama YBhg Datin Seri Diraja Saripah Zulkifli ketika melakukan lawatan dalam majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.