7 Peringatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah - 3 Februari 2014

KUALA KANGSAR, 3 FEBRUARI 2014 - Sempena Majlis Kesyukuran 30 Tahun Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah yang telah diadakan di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah telah bertitah menyampaikan tujuh peringatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah.

“Meskipun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ketika ini masih dinasihatkan oleh pakar-pakar perubatan untuk beristirehat, namun baginda tetap mengikuti perkembangan yang sedang berlaku, malah keadaan semasa rakyat jelata senantiasa berada dalam pemikiran baginda. Sempena ulang tahun 30 tahun pemerintahan, baginda telah menitahkan supaya dizahirkan 7 peringatan.” titah DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Berikut adalah 7 peringatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah yang disampaikan oleh DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah :-

Pertama : Berpegang kepada prinsip ketuhanan, menginsafi kebesaran Yang Maha Mencipta berbanding kedaifan insan bertaraf hamba dengan memperlihatkan sifat-sifat tawaduk, kemanusiaan, serta kasih sayang sesama insan di samping tidak melakukan kezaliman sesama makhluk dan tidak melakukan kemusnahan kepada alam ciptaan Ilahi.

Kedua : Menyedari bahawa setiap nikmat adalah anugerah Ilahi; setiap insan wajib mengamalkan sifat bersyukur agar dikurniakan nikmat lebih besar, di samping menerima ujian dengan penuh ketabahan selaras dengan maksud ayat 17 Surah Al An Aam.

Ketiga : Pangkat dan jawatan adalah anugerah Ilahi dan hendaklah dipenuhi dengan penuh amanah, senantiasa mengingati akauntabiliti kepada rakyat begitu juga akauntabiliti ketika diadili di mahkamah Rabbuljalil di Padang Mahsyar selaras dengan peringatan yang terkandung dalam ayat 9 Surah Ali Imran.

Keempat : Negeri Perak dan negara Malaysia telah dilimpahkan dengan nikmat kekayaan sumber dan hendaklah diuruskan secara cekap, jujur, telus lagi berintegriti, menjauhi amalan-amalan rasuah, salah guna kuasa serta pembaziran agar negeri dapat dimakmurkan dan kehidupan majoriti rakyat dapat disejahterakan.

Kelima : Perpaduan rakyat hendaklah sentiasa diutamakan dan tidak boleh dikompromikan. Perpaduan rakyat adalah asas kekuatan negara yang telah memungkinkan kemerdekaan dicapai, ancaman komunis dimusnahkan, kemajuan dicipta serta kemerdekaan tanah air dapat dipertahankan. Bahawa rakyat di negara ini terdiri dari pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai agama, berlatar belakangkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa. Kepelbagaian tersebut adalah aset negara jika rakyat berjaya dibimbing untuk berfikiran rasional, mengamalkan sikap saling memahami - saling menghormati, serta tidak mudah dipengaruhi dengan sentimen yang dicetuskan oleh pihak-pihak yang berfikiran sempit lalu memilih untuk mengadu domba rakyat untuk berkonflik secara mensensasikan isu-isu agama, kaum, budaya dan bahasa. Baginda yakin majoriti rakyat bersifat rasional lagi bertanggungjawab; bahawa majoriti rakyat menghargai suasana hidup yang aman, harmoni lagi rukun.

Keenam : Mengamalkan pemerintahan yang berlandaskan undang-undang (rule of law). Undang-undang tidak sahaja perlu digubal tetapi lebih penting untuk dihormati, dikuatkuasakan secara adil - secara saksama, malah dipastikan kelihatan dilaksanakan secara adil - secara saksama, tanpa prejudis - tanpa diskriminasi melalui amalan kehakiman, perundangan dan penguatkuasaan berlandaskan prinsip tanpa gentar - tanpa pilih kasih (without fear or favour).

Ketujuh : Takhta pemerintahan menyempurnakan amanah berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan, berfungsi sebagai tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan. Raja Pemerintah wajib mengamalkan dan mempamerkan sifat tidak memihak - tidak partisan - tidak berkepentingan demi menjamin berlakunya keadilan, membantu keberkesanan mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan institusi-institusi perundangan, eksekutif dan kehakiman, lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi - berakarkan doktrin pengasingan kuasa.

Titah DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah lagi, “Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, Mamanda Menteri Besar, kesemua Raja Bergelar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Negeri, kakitangan perkhidmatan awam, anggota tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, guru-guru, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, para ulama, penghulu, imam dan pegawai Masjid, pihak swasta, badan-badan berkanun, badan-badan bukan kerajaan, badan-badan sukan serta seluruh rakyat baginda yang telah melaksanakan pelbagai peranan untuk membangunkan negeri. Kepada rakyat baginda yang terdiri daripada kaum Cina, baginda bersama Tuanku Permaisuri mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu (Gong Xi Fa Cai)”.

Berangkat sama pada majlis itu, DYTM Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; DYAM Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah. Turut hadir, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir dan isteri, YBhg Datin Seri Saripah Zulkifli dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Puhat bin Mat Nayan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.

ÂÂÂÂ