DYMM Sultan Perak Rasmi Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) : 7 September 2017

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah rasmi ILSM

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan ILSM.

TANJUNG MALIM, 7 SEPTEMBER 2017 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) di Sungkai.

ILSM ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bertujuan memperkasakan modal insan sebagai pemangkin utama untuk pengukuhan sesebuah organisasi.

ILSM dibangunkan secara berperingkat di kawasan seluas 16 hektar fasa iaitu fasa pertama bernilai RM47.6 juta manakala fasa kedua RM7 juta di bawah RMK-10.

Ketika merasmikan ILSM, Sultan Nazrin Shah bertitah, penubuhan institut itu amat bertepatan bagi memperkukuhkan daya saing dan tahap kepakaran sumber insan dalam bidang statistik.

Baginda bertitah, ia juga dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang berimpak tinggi kepada sumber insan terlatih, supaya lebih bersedia menguasai profesion baru ahli sains data dalam menghadapi revolusi teknologi digital yang berkembang pesat.

“Beta menghargai dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memilih Sungkai sebagai tapak institut ini. Sungkai kini mempunyai sebuah institut latihan profesional.

“Semoga institut ini akan terus berkembang hingga diiktiraf sebagai institut latihan bertaraf antarabangsa,” titah baginda.

Turut berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; DYAM Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri S.K. Devamany dan YBhg Ketua Perangkawan, Dr. Mohd. Uzir Bin Mahidin.

Sultan Nazrin Shah bertitah, pencapaian sosio-ekonomi sesebuah negara dapat dinilai dan dipantau melalui statistik.

Titah baginda, statistik dijadikan rujukan untuk memandu kerajaan ketika merangka pelbagai rancangan pembangunan.

“Pentafsiran yang tidak tepat boleh mengundang kepada berlakunya kesilapan perancangan atau kesalahan perumusan keputusan,” titah baginda.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah rasmi ILSM

DYMM Sultan Nazrin Shah menandatangani plak perasmian ILSM sambil diperhatikan YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah rasmi ILSM

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika ditemui semasa lawatan di ILSM.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah rasmi ILSM

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika meneliti buku berkaitan ILSM.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah rasmi ILSM

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama  DYMM Tuanku Zara Salim ketika lawatan di ILSM.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah rasmi ILSM

DYMM Seri Paduka Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bergambar bersama kakitangan ILSM.

Sumber : Korporat, SUK Perak.