DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah : Bersedia Tangani Elemen 'Transhumanism' : 14 Oktober 2017

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah: Bersedia Tangani Elemen 'Transhumanism'

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika bertitah dalam Istiadat Konvokesyen PSAS ke 15.

BEHRANG, 14 OKTOBER 2017- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengingatkan para graduan supaya bijak mendepani perubahan dan cabaran baharu revolusi industri keempat yang bakal mencetuskan elemen 'transhumanism' atau rentas kemanusiaan.

Baginda bertitah, era revolusi industri keempat membawa perubahan kepada cara kerja dan budaya kehidupan harian, membabitkan tiga domain utama iaitu fizikal, digital dan biologikal selain merangkumi pelbagai perkara termasuk aspek penggunaan robot automasi.

"Manusia harus melihat kebarangkalian wujud ekosistem baharu yang bakal mengubah bukan hanya cara hidup dan cara kerja serta masyarakat dan norma, malahan persepsi tentang 'manusia' itu sendiri.

"Elemen transhumanism akan mula melakar kehidupan yang tentu sekali bakal mencabar konsep kesemulajadian apabila alam manusia bakal dirangkumkan bersama dunia robot, susulan kewujudan elemen 'artificial intelligence' (kepintaran buatan) dan bioteknologi.

"Oleh itu, amat penting untuk dipastikan, manusia terus berperanan sebagai tenaga kerja utama tanpa didominasi oleh robot, bahkan menjadi pereka cipta sistem robot dengan tujuan untuk memudahkan kerja tanpa sama sekali mengorbankan nilai dan roh kemanusiaan. "Segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh mestilah digunakan sebaik-baiknya, dipastikan tidak bercanggah dengan konsep Ketuhanan.

"Manusia wajib diperkukuhkan dengan nilai ketuhanan dan roh kemanusiaan agar tidak tergelincir daripada pegangan akidah, ketauhidan Tuhan dan mengamalkan jiwa hamba kepada Yang Maha Pencipta.

"Insan wajib memiliki pegangan akidah yang kukuh serta disemaikan dengan keimanan yang teguh supaya pada setiap kejayaan menghasilkan inovasi dan ciptaan baharu, akan meningkat apresiasinya terhadap kewujudan Ilahi," titah baginda. Baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 Politeknik Sultan Azlan Shah di Dewan Muallim Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS).

Hadir sama YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan. Seramai 318 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada sidang pertama istiadat konvokesyen itu, iaitu 25 menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Rekabentuk Automotif) dengan kepujian dan 293 menerima diploma pelbagai program.

Sultan Nazrin juga bertitah, pendidikan teknik dan latihan vokasional (TVET) juga telah memberi sumbangan besar kepada negara termasuk melatih dan menyediakan modal insan berkemahiran dan separa mahir kepada negara.

Malah titah baginda, pendidikan bagaikan komoditi yang mampu merubah struktur sosial dan ekonomi masyarakat, termasuk mengatasi masalah kemiskinan, memperbesarkan peratus masyarakat menengah, memperkayakan modal budaya dan sosial serta meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara.

"Dalam menghadapi keperluan dunia semasa dan cabaran dunia akan datang, program pendidikan bukan sahaja perlu diperluas dan diperkembangkan, tetapi wajib dipertingkatkan.

"Agenda dan program pendidikan, jika disisih dan jika tidak diberikan keutamaan, berpotensi meletakkan negara dan warga tercicir dan tertinggal dalam arus kemajuan teknologi yang sedang berlaku pada kadar yang tersangat pantas.

"Menjelang tahun 2020, penduduk dunia diramalkan mencecah 7.6 bilion, dan dalam tempoh masa yang sama, 50 bilion peranti elektronik diramalkan memasuki pasaran teknologi, bermakna jumlah peranti yang berkomunikasi adalah melebihi jumlah manusia, dengan nisbah purata setiap manusia memiliki 6.6 peranti elektronik, yang akan membuka laluan interaksi di antara satu sama lain; senario yang bakal menjana data raya dan pengetahuan," titah baginda.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah: Bersedia Tangani Elemen 'Transhumanism'

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan diploma kepada salah seorang pelajar PSAS dalam istiadat konvokesyen tersebut.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah: Bersedia Tangani Elemen 'Transhumanism'

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan diploma kepada salah seorang mahasiswi PSAS dalam istiadat konvokesyen berkenaan.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah: Bersedia Tangani Elemen 'Transhumanism'

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan diploma kepada salah seorang mahasiswa PSAS dalam istiadat konvokesyen berkenaan.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah: Bersedia Tangani Elemen 'Transhumanism'

Rata-rata pelajar PSAS yang ditemui ceria selepas berjaya menamatkan pengajian.

Sumber : Korporat, SUK Perak.