Sultan Nazrin: Pelajar Sekolah Vernakular Wajib Kuasai Bahasa Malaysia : 23 Oktober 2017

Sultan Nazrin: Pelajar Sekolah Vernakular Wajib Kuasai Bahasa Malaysia

Sultan nazrin Muizzuddin Shah berkenan bertitah dalam majlis berkenaan.

IPOH, 23 OKTOBER 2017 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sekolah vernakular wajar mengambil tanggungjawab memastikan setiap pelajar yang mengikuti persekolahan aliran itu mampu menguasai Bahasa Malaysia.

Baginda bertitah, tahap penguasaan para pelajar sekolah vernakular itu perlu berada pada tahap tertinggi iaitu setanding atau lebih baik daripada pelajar di sekolah kebangsaan.

"Ia sesuatu yang janggal dan ironis jika terdapat seseorang individu bertaraf warganegara Malaysia dan mendapat segala nikmat dan keistimewaan sebagai seorang warganegara tetapi tidak boleh memahami, bertutur, menulis serta membaca dalam bahasa kebangsaan.

"Bahasa merupakan medium yang dapat menjalin dan merapatkan hubungan manusia. Keupayaan menguasai bahasa pertuturan serta penulisan yang sama adalah prasyarat memungkinkan berlakunya komunikasi," titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet di sini hari ini.

Turut berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, YAB Menteri Besar Dato’ Seri Diraja Dr, Zambry Bin Abd Kadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dan YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Kampung Baru, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Sultan Nazrin bertitah, usaha untuk memastikan setiap pelajar sekolah vernakular menguasai sekali gus fasih perlu diterima sebagai satu cabaran selain dijadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pencapaian sesebuah sekolah vernakular.

Dalam pada itu, titah baginda, keterbukaan kerajaan membenarkan sekolah vernakular terus beroperasi wajib dihargai kerana ia merupakan antara platform yang membantu dalam memupuk perpaduan kaum.

"Kejayaan sekolah vernakular mendidik pelajar hingga menguasai dan fasih bahasa kebangsaan akan dapat membantu usaha membina negara bangsa yang bersatu padu selain meminimumkan perasaan tidak selesa sebahagian masyarakat di negara ini terhadap sekolah vernakular," titah baginda.

Sultan Nazrin: Pelajar Sekolah Vernakular Wajib Kuasai Bahasa Malaysia

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir menyampaikan sumbangan berbentuk dana kewangan kepada pemangku Pengetua SMJK (C) Sam Tet, Teh Eow Kok.

Sultan Nazrin: Pelajar Sekolah Vernakular Wajib Kuasai Bahasa Malaysia

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim berkenan melakukan lawatan dalam pameran di SMJK (C) Sam Tet.

Sultan Nazrin: Pelajar Sekolah Vernakular Wajib Kuasai Bahasa Malaysia

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan anugerah kepada tokoh pelajar SMJK (C) Sam Tet, Lai Zhong Xun dalam majlis berkenaan.

Sultan Nazrin: Pelajar Sekolah Vernakular Wajib Kuasai Bahasa Malaysia

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama tetamu kehormat lain menyaksikan persembahan orkestra SMJK (C) Sam Tet.
 Sultan Nazrin: Pelajar Sekolah Vernakular Wajib Kuasai Bahasa Malaysia  Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan bergambar bersama guru dan kakitangan SMJK (C) Sam Tet.

Sumber : Korporat, SUK Perak.