15 Daripada 20 Agensi Berjaya Catatkan Perkhidmatan Taraf 5 Bintang : 31 Oktober 2017

15 Daripada 20 Agensi Berjaya Catatkan Perkhidmatan Taraf 5 Bintang

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

IPOH, 31 OKTOBER 2017 - Sejumlah 15 daripada 20 agensi dan jabatan kerajaan negeri Perak berjaya mencatat pencapaian perkhidmatan bertaraf 5 bintang sepanjang tahun lepas, kata YAB Menteri Besar Perak Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir.

Beliau berkata, tiga lagi jabatan kerajaan negeri memperoleh empat bintang manakala dua lagi jabatan mencapai penarafan tiga bintang menerusi pengauditan yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara.

Tambah beliau, sebanyak 17 agensi dan jabatan di negeri ini akan diaudit tahun ini dan beliau berharap agensi dan jabatan yang terbabit dapat membuat persediaan bagi memperolehi keputusan yang terbaik.

Sehubungan itu katanya, setiap agensi dan jabatan di negeri ini diminta melakukan transformasi dengan melakukan pelbagai inovasi di luar daripada lingkungan kebiasaan.

“Setiap agensi dan jabatan perlu  memikirkan satu projek inovasi untuk dibentangkan di peringkat kerajaan negeri untuk kemajuan pembangunan di negeri ini,” kata beliau ketika berucap merasmikan Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam 2017 Peringkat Negeri Perak serta menyampaikan Sijil Kecemerlangan Anugerah 5 Bintang Indeks Akauntabiliti 2016 kepada 15 jabatan dan agensi terlibat.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dan YB Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), YBhg Dato’ Abu Bakar Bin Haji Said.

Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa memikirkan langkah bagaimana setiap agensi dan jabatan di negeri ini berjaya memenuhi 134 kriteria yang ditetapkan untuk mencapai tahap perkhidmatan bertaraf lima bintang.

"Ia bagi memastikan semua agensi dan jabatan memenuhi piawaian standard antarabangsa sekali gus dapat menyumbang idea dan sistem terbaik yang boleh diguna pakai dan secara tidak langsung dapat membantu pembangunan di negeri ini," ujar beliau.

Sementara itu, Dato’ Seri Abdul Puhat pula berkata, pihaknya turut merakamkan jutaan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak yang telah mengisytiharkan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai.

Beliau berkata, pengisytiharaan itu bakal meningkatkan pertumbuhan ekonomi sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan kepada masayarakat sekitar pulau berkenaan.

“Sesungguhnya, ini merupakan manifestasi komitmen dan iltizam Kerajaan Pusat terhadap kerajaan negeri dalam usaha merancakkan pelaburan, perdagangan dan industry yang merupakan tunjang utama bajet 2018,” kata beliau.

15 Daripada 20 Agensi Berjaya Catatkan Perkhidmatan Taraf 5 Bintang

YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir bergambar bersama pemenang.

15 Daripada 20 Agensi Berjaya Catatkan Perkhidmatan Taraf 5 Bintang

Antara penerima yang diberikan penghargaan oleh YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir.

15 Daripada 20 Agensi Berjaya Catatkan Perkhidmatan Taraf 5 Bintang

YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abdul Kadir bersama YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan bergambar dengan sebahagian pemenang.

15 Daripada 20 Agensi Berjaya Catatkan Perkhidmatan Taraf 5 Bintang

YBhg Dato' Abu Bakar Bin Haji Said menerima sijil penghargaan daripada YAB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir.

Sumber : Korporat, SUK Perak.