Masyarakat Pelbagai Kaum Meriahkan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2014 – 8 Februari 2014

TAIPING, 8 FEBUARI 2014 - Lebih 10,000 tetamu dari pelbagai kaum telah hadir ke Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama bagi memeriahkan sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina yang turut dihadiri YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri DiRaja Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak dan isteri, YABhg. Datin Seri DiRaja Rosmah Mansor.

Datuk Seri DiRaja Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam ucapan perasmian beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak memandang ringan isu perkauman di negara ini dan meminta rakyat Malaysia agar terus memelihara keamanan dan keharmonian yang telah di dibina selama ini kerana ia merupakan kunci kejayaan negara.

Selesai berucap di pentas utama YAB Datuk Seri DiRaja Mohd Najib Tun Abdul Razak menekan butang khas dan serentak dengan itu, sebuah replika kuda keluar dari bahagian tengah, kiri serta kanan pentas utama meraikan kehadiran Tahun Kuda mengikut kalendar Lunar, tanda perasmian Sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2014.

Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina ini adalah kerjasama Kementerian Pelancongan dan kebudayaan dengan kerajaan Negeri Perak. Majlis ini turut diserikan lagi dengan kehadiran peserta MegaFam dari 14 negara termasuk Amerika Syarikat, Mexico, Itali, Jerman, Hong Kong, Australia, China, Bangladesh, Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand.

Selain itu, tradisi ‘makan besar’ iaitu tradisi Cina turut disediakan secara percuma kepada orang sambil menyaksikan demonstrasi persembahan jalanan daripada kumpulan seni Cina tempatan seperti Kumpulan World Champion Lion Dance Muar, Tarian Naga Taiping, Chinggay Pulau Pinang, Orchestra Erchu Cina di samping persembahan mantap artis-artis budaya tari dari Istana Budaya.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir dan isteri,YBhg. Datin Seri Saripah Zulkifli; YB Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Puhat bin Mat Nayan dan YB Presiden MCA merangkap Wakil Masyarakat Cina, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

 

Sumber : Korporat, SUK Perak.