Pendekatan Keusahawanan Perlu Dalam Pendidikan Tinggi : 6 Disember 2017

Pendekatan Keusahawanan Perlu Dalam Pendidikan Tinggi

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melakukan lawatan ke perpustakaan UTP.

SERI ISKANDAR, 6 DISEMBER 2017 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pembaharuan terhadap pendekatan keusahawanan sangat diperlukan dalam sektor pendidikan tinggi Malaysia yang bergerak seiring kemajuan teknologi.

Baginda bertitah, untuk mencapai perubahan tersebut, pendekatan berasaskan keusahawanan ke arah pendidikan tinggi perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan.

"Antaranya adalah memasukkan peranan yang lebih besar sektor industri dalam melaksanakan kerjasama awam-swasta bagi melakar dinamisme dan inovasi yang lebih baik yang ada dalam sektor swasta," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Titah Diraja DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Bertajuk Membina Ekosistem Pendidikan Yang Dinamik dan Inklusif Sempena Sambutan 20 Tahun Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Dewan Canselor UTP.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dan YBhg Timbalan Naib Canselor UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim Bin Abdul Mutalib.

Titah baginda, bagaimanapun ada beberapa risiko dikaitkan dengan strategi berkenaan yang dilihat berkemungkinan memberi tekanan sama ada daripada sudut untuk mencapai matlamat atau meraih keuntungan sepertimana dasar sektor swasta.

"Tetapi pada ketika ini perlu untuk kita membawa sedikit risiko dan semangat keusahawanan dalam menghadapi tugasan mencabar bagi melaksanakan pembaharuan dalam pendidikan," titah baginda.

Selain itu, Sultan Nazrin Shah bertitah, pembelajaran sepanjang hayat adalah satu tren utama pada ketika ini yang perlu disemai dalam diri bagi memastikan kehidupan selesa walaupun keadaan dunia berubah.

Baginda bertitah, beberapa inisiatif dalam perkara itu telah dilaksanakan di Malaysia sebagaimana dinyatakan termasuk usaha mengambil kira pengalaman pelajar terdahulu dan kaedah penilaian yang menjangkaui peperiksaan.

"Hubungan yang semakin berkembang membabitkan pendidikan tinggi dan pihak industri turut menyumbang kepada kesesuaian kursus yang disampaikan.

"Ia juga membantu mempromosikan akses kepada pendidikan tinggi di luar demografi yang masih muda ketika ini," titah baginda.

Titah Sultan Nazrin, beberapa negara lain seperti Singapura umpamanya, turut membuat pelaburan yang besar dalam meneruskan pembelajaran bagi golongan dewasa.

"Singapura sebagai contoh, sudah pun membangunkan sebuah institusi baharu yang dikhususkan kepada bidang berkenaan iaitu SkilssFuture Singapore.

"Objektif penubuhannya adalah untuk membimbing rakyat pelbagai peringkat kerjaya terhadap pendidikan yang disasar dan program berkaitan kemahiran," titahnya.

Pendekatan Keusahawanan Perlu Dalam Pendidikan Tinggi

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melakukan lawatan ke pameran dalam majlis anjuran UTP.

<Pendekatan Keusahawanan Perlu Dalam Pendidikan Tinggi

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan bertitah dalam majlis tersebut.

Pendekatan Keusahawanan Perlu Dalam Pendidikan Tinggi

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima buku cenderahati yang disampaikan Timbalan Naib Canselor UTP.

Pendekatan Keusahawanan Perlu Dalam Pendidikan Tinggi

Antara tetamu kehormat yang hadir dalam majlis anjuran UTP.

Pendekatan Keusahawanan Perlu Dalam Pendidikan Tinggi

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika melakukan lawatan di beberapa tempat dalam UTP.

Sumber : Korporat, SUK Perak.