57 Atlet Negeri Terima Skim Insentif : 15 Disember 2017

57 Atlet Negeri Terima Skim Insentif

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama atlet hoki negara dalam majlis tersebut.

IPOH, 15 DISEMBER 2017 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Penyampaian Skim Insentif Kemenangan Atlet Negeri Perak dan Program Satu Pingat, Satu Pokok Sukan Sea dan Para Asean Kuala Lumpur 2017 di Bulatan Amanjaya, Meru.

Turut berangkat DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Bin Abd Kadir, YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ M. Saravanan, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan serta YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Perak Dato’ Shahrul Zaman Bin Yahya.

Sejurus tiba pada majlis itu, pasangan Diraja itu berkenan menyaksikan majlis menanam pokok oleh atlet-atlet negeri Perak yang memperoleh pingat pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan Sukan Para Asean KL 2017.

Sultan Nazrin Shah kemudian berkenan menyampaikan insentif kemenangan berjumlah kira-kira RM70,000 kepada pemenang Sukan Sea KL2017 dan lebih RM40,000 kepada pemenang Sukan Para Asean KL 2017.

Atlet penerjun negara Cheong Jun Hoong juga menerima insentif berjumlah RM25,000 di atas kejayaannya menjuarai Kejohanan Terjun Fina 2017 di Budapest, Hungary pada Julai lalu menerusi acara 10 meter platform wanita individu selepas kejayaan memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio, Brazil pada tahun lalu.

Sementara itu, YB Dato’ Shahrul Zaman dalam ucapannya berkata, seramai 57 atlet negeri Perak telah mewakili negara dalam Sukan Sea KL2017 dengan 21 daripadanya memenangi pingat emas, sembilan pingat perak dan sembilan pingat gangsa.

"Seramai 23 orang atlet daripada Perak pula telah mewakili negara dalam Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 dengan 11 daripadanya memperoleh pingat emas, tujuh pingat perak dan sembilan pingat gangsa," katanya.

Beliau berkata kejayaan dicapai itu jelas menunjukkan bahawa Perak dari dahulu, kini telah dan akan terus melahirkan atlet bertaraf dunia.

Katanya, semoga majlis pada hari ini akan menjadi suntikan semangat dan faktor motivasi bagi pelatih Sukma di bawah Program 'Kita Juara 2018' dan Program Podium Perak (PT3).

57 Atlet Negeri Terima Skim Insentif

Antara atlet para Asean yang turut menerima insentif daripada kerajaan negeri.

57 Atlet Negeri Terima Skim Insentif

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan beramah mesra dengan atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong.

57 Atlet Negeri Terima Skim Insentif

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melihat atlet memanah para Asean negara, Nur Saadah Binti Abdul Wahab menanam pokok sempena majlis tersebut.

57 Atlet Negeri Terima Skim Insentif

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan skim insentif bernilai RM25,000 kepada atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong.

57 Atlet Negeri Terima Skim Insentif

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Tunku Zara Salim berkenaan melihat atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Bin Ismail menanam pokok sempena majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.