Persidangan DUN Belia Perak Bentang Tujuh Usul : 16 Disember 2017

Persidangan Dun Belia Perak Bentang Tujuh Usul

Salah seorang perwakilan yang membahaskan usul yang dibentangkan.

IPOH, 16 DISEMBER 2017 - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Perak membentangkan sebanyak tujuh usul dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Belia Pertama Perak yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Perak, Dato’ Shahrul Zaman Bin Yahya berkata, semua usul yang dibentangkan itu dilihat relevan selain meliputi pelbagai perkara yang membabitkan belia dan masyarakat di Perak.

"Antara usulnya adalah membangunkan secara inklusif bidang agro pelancongan serta perniagaan 'food truck'; pemerkasaan penyertaan digital wanita ke arah pembangunan masyarakat digital yang cemerlang; memperkasa identiti belia Perak: kesedaran dan penghayatan terhadap seni warisan dan budaya selain Bahasa Melayu kejatidirian bangsa Malaysia:memperkasakan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Manakala usul lain pula membabitkan kesedaran dan mendidik rakyat dalam industri revolusi 4.0 seiring dengan matlamat Malaysia 2020 untuk menguasai industri di Asia; Perak Negeri Bersih 2025: ke arah pengurusan efektif dan penyelesaian inklusif serta mendidik dalam menghukum ke arah sifar bulu di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Belia Pertama Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Katanya, beliau turut berharap semua perwakilan dapat membahaskan usul itu secara progresif dan dinamik agar ia diluluskan sekaligus diperincikan ke peringkat kerajaan negeri dan persekutuan.

Dalam perkembangan lain, YB Dato’ Shahrul Zaman berkata, seramai 49 individu telah dilantik menganggotai perwakilan DUN Belia Perak bagi sesi 2018 dan 2019.  Beliau berkata, pelantikan itu dibuat bagi menggantikan ahli dewan belia sedia ada yang telah tamat tempoh perkhidmatannya.

"Jumlah keseluruhan perwakilan adalah 60 orang, 49 baru dilantik dan 11 lagi dikekalkan daripada penggal lepas. Kita harap mereka yang baru dilantik ini akan berusaha bersungguh-sungguh selain mampu mengeluarkan buah fikiran yang terbaik untuk kepentingan belia serta masyarakat," katanya.

Persidangan Dun Belia Perak Bentang Tujuh Usul

Antara gelagat perwakilan DUN Belia Perak dalam persidangan yang berlangsung.

Persidangan Dun Belia Perak Bentang Tujuh Usul

Sesi Persidangan DUN Belia Perak yang berlangsung selama dua hari bermula 16 Disember lalu.

Persidangan Dun Belia Perak Bentang Tujuh Usul

YB Maslin Sham turut berucap dalam persidangan DUN Belia Perak yang berlangsung.

Sumber : Korporat, SUK Perak.