DUN Belia Perak Lulus Tujuh Usul : 17 Disember 2017

Dun Belia Perak Lulus Tujuh Usul

YB Dato' Shahrul Zaman Yahya ketika berucap semasa sesi penggulungan persidangan DUN Belia Perak.

IPOH, 17 DISEMBER 2017 - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Perak meluluskan tujuh usul setelah dibahaskan selama 2 hari oleh anggota DUN Belia.

YBhg Speaker DUN Belia Perak, Puan Salbiah Bin Mohamed berkata, tiada usul yang ditolak selain ia mendapat sokongan penuh daripada 60 perwakilan DUN Belia.

Katanya, usul-usul itu juga dilihat relevan dan terarah kepada bidang keusahawanan, penggunaan bahasa Melayu, perindustrian, pelancongan dan sebagainya yang melibatkan golongan belia.

"Saya ambil contoh bidang keusahawanan, mereka nak supaya ada satu sistem atau dasar yang jelas untuk membantu usahawan-usahawan muda di negeri ini melalui peruntukan yang disediakan kerajaan.

"Mengenai isu bahasa Melayu pula, mereka mahu ia dimartabatkan kerana pada ketika ini dapat dilihat penggunaan bahasa pasar, bahasa rojak berleluasa sehingga ke peringkat membabitkan urusan rasmi kerajaan," katanya, ketika ditemui pada sidang media di program tersebut.

Tujuh usul yang telah diluluskan itu ialah membangunkan secara inklusif bidang agro pelancongan serta perniagaan 'food truck'; pemerkasaan penyertaan digital wanita ke arah pembangunan masyarakat digital yang cemerlang; memperkasa identiti belia Perak: kesedaran dan penghayatan terhadap seni warisan dan budaya selain Bahasa Melayu kejatidirian bangsa Malaysia: memperkasakan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kesedaran dan mendidik rakyat dalam industri revolusi 4.0 seiring dengan matlamat Malaysia 2020 untuk menguasai industri di Asia; Perak Negeri Bersih 2025: ke arah pengurusan efektif dan penyelesaian inklusif serta mendidik dalam menghukum ke arah sifar buli di sekolah.

Beliau berkata, DUN Belia yang diwujudkan sejak Februari tahun lalu itu juga melalui banyak fasa perubahan selain pelbagai idea yang dibawa oleh perwakilan telah dibincangkan ke peringkat tertinggi sama ada di peringkat DUN atau Parlimen Belia Malaysia.

"Isu perumahan sebelum ini kita telah bincangkan dalam sidang DUN sebenar sebelum ini, ada juga perwakilan kita di sini yang merangkap ahli Parlimen Belia Malaysia telah bawa isu belia di Perak untuk diketengahkan di sana," katanya.

Sementara itu, YB Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Chandan, Encik Maslin Sham Bin Razman berkata, ketujuh-tujuh usul yang diluluskan itu bukan sahaja mewakili suara seluruh golongan belia di negeri ini malah ia berpotensi diketengahkan sebagai salah satu dasar kerajaan negeri.

"Rata-rata telah menyuarakan isi hati dan aspirasi khususnya daripada generasi muda. Ia relevan dan meliputi semua aspek termasuk kebimbangan kerisauan, pengharapan dan sebagainya," katanya.

Dun Belia Perak Lulus Tujuh Usul

YB Puan Salbiah sedang berucap dalam sidang media.

Dun Belia Perak Lulus Tujuh Usul

Semua perwakilan DUN Belia Perak bergambar selepas tamat sesi persidangan.

Dun Belia Perak Lulus Tujuh Usul

YB Puan Salbiah Mohamed ketika ditemui pada sidang media.

Sumber : Korporat, SUK Perak.