Majlis Amanat Akhir 2017 Dan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) : 19 Disember 2017

Majlis Amanat Akhir 2017 Dan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR)

Lafaz IBR yang dibacakan YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan.

IPOH, 19 DISEMBER 2017 - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak meminta kakitangan awam dan masyarakat di negeri yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan rasuah supaya melaporkan kepada suruhanjaya berkenaan.

YBhg Pengarah SPRM Perak, Dato’ Zainul Bin Darus berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan kegiatan tidak bermoral itu dapat ditangani dengan sewajarnya.

“Saya nasihatkan supaya penjawat awam dan masyarakat di luar sana supaya memberi kerjasama kepada SPRM. Jangan takut kepada SPRM. Sebab sekarang ini, era SPRM mesra rakyat.

“Jadi, yang kita nak ‘attack’ sekarang ini adalah perasuah, bukan pemberi maklumat. Objektif kita adalah untuk mengurangkan ruang untuk kegiatan rasuah itu berlaku,” katanya selepas Majlis Amanat Akhir 2017 dan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, seramai 60 pegawai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah melafazkan IBR dengan diketuai oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri juga merupakan jabatan kerajaan ke-107 di Perak yang telah menjalankan tanggungjawab menandatangani IBR di bawah kelolaan SPRM itu.   

Beliau berkata, kerjasama yang dijalinkan dengan kerajaan negeri juga bukan hanya terarah kepada penguatkuasaan semata-mata malah ia meliputi perkara membabitkan prosedur, khidmat nasihat dan sebagainya.

“Selain menguatkuasakan undang-undang, kita juga akan membantu dari segi khidmat nasihat, menilai semula prosedur yang lapuk dan sebagainya. Kita harap melalui perkara-perkara ini, kerjasama antara kedua pihak dapat diperkukuhkan,” katanya.

Sementara itu, YB Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan berkata, setiap penjawat awam perlu mendukung prinsip integriti dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Tambah beliau, ia penting bukan hanya untuk mengelakkan diri daripada gejala rasuah malah mampu menyediakan perkhidmatan awam terbaik pada rakyat.

 “Apa pun, integriti ini perlu ada dalam diri setiap penjawat awam. Kalau perkara itu dilakukan dengan penuh komited, tiada alasan untuk gejala rasuah berlaku dan membabitkan penjawat awam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, buat masa ini gejala rasuah yang melibatkan penjawat awam di Perak masih berada pada tahap terkawal.

“Walaupun terkawal, kita akan teruskan usaha untuk memerangi gejala rasuah ini agar ia dapat ditangani sepenuhnya,” katanya.

Majlis Amanat Akhir 2017 Dan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR)

Sebahagian daripada pegawai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sedang melafazkan IBR dalam majlis tersebut.

Majlis Amanat Akhir 2017 Dan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR)

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan mengetuai lafaz IBR dalam majlis yang diadakan.

Majlis Amanat Akhir 2017 Dan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR)

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dan YBhg Dato' Zainul Bin Darus menandatangani dokumen perjanjian persefahaman berkaitan pencegahan rasuah dalam majlis tersebut.

Majlis Amanat Akhir 2017 Dan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR)

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dan YBhg Dato' Zainul Bin Darus semasa gimik penyerahan dokumen perjanjian persefahaman dalam majlis tersebut.

Majlis Amanat Akhir 2017 Dan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR)

YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan ketika ditemui media dalam majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.