Hospital Parit Buntar Siap Menjelang Penghujung Disember 2020 : 20 Februari 2018

Hospital Parit Buntar Siap Menjelang Penghujung Disember 2020

YB Dato' Seri Abdul Puhat tekun mendengar penerangan daripada salah seorang pegawai yang terlibat dalam projek tersebut.

PARIT BUNTAR, 20 FEBRUARI 2018 - Hospital Parit Buntar yang menelan belanja sekitar RM136.7 juta bakal siap penuhnya menjelang penghujung Disember 2020.

YB Menteri Kerja Raya,  Dato’ Seri Haji Fadillah Bin Yusof berkata, pembinaan hospital empat tingkat di atas tanah berkeluasan 5.2 hektar itu juga akan menggunakan teknologi Informasi Permodelan Bangunan (BIM) yang bertujuan memudahkan kerja-kerja mereka bentuk dan pembinaan dilaksanakan. 

"Hospital Parit Buntar ini merupakan hospital pertama di Malaysia yang akan menggunakan sepenuhnya teknologi BIM yang berasaskan reka bentuk imej tiga dimensi.

"Kita gunakan kaedah ini kerana ia dapat mengurangkan kesilapan dalam mereka bentuk. Bila reka bentuk ini betul maka kaedah pembinaan nanti akan jadi lebih mudah dan di situ secara langsung ia akan mengurangkan pembaziran," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Hospital Parit Buntar di sini, hari ini.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan. 

Sebelum ini, pembinaan hospital yang merangkumi tiga fasa itu dilaporkan bakal siap sepenuhnya sekitar Januari 2021 dan bakal memberi manfaat kepada lebih 120,000 penduduk sekitar daerah Kerian. 

Beliau berkata, antara kemudahan yang terdapat di hospital itu nanti adalah bilik bedah, x-ray, unit rawatan rapi (ICU), bilik rawatan pesakit luar dan sebagainya. 

Mengulas dakwaan segelintir pihak berkaitan kelewatan tarikh sebenar pembinaan hospital itu,  katanya, projek terbabit mengambil masa kerana ia perlu memenuhi beberapa kriteria sebelum boleh dilaksanakan. 

"Sebagai contoh,  tanah untuk dibina hospital ini sifatnya lembut kerana menggunakan tanah sawah dan ia memerlukan sedikit masa bagi memastikannya mampat selain sesuai untuk pembangunan hospital, " katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, YB Dato’ Seri Haji Fadillah yang merupakan ahli Parlimen Petra Jaya turut menegaskan pembinaan hospital itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa peka dan prihatin dengan keperluan rakyat. 

"Oleh itu, kita harapkan kewujudan hospital ini nanti akan memberi manfaat dan memenuhi keperluan sepertimana yang dimahukan oleh masyarakat di daerah ini," katanya.

Hospital Parit Buntar Siap Menjelang Penghujung Disember 2020

YB Dato' Seri Haji Fadillah mendengar penerangan daripada salah seorang pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) berkaitan pembinaan Hospital Parit Buntar.

Hospital Parit Buntar Siap Menjelang Penghujung Disember 2020

YB Dato' Seri Haji Fadillah ketika hadir pada majlis pecah tanah Hospital Parit Buntar.

Hospital Parit Buntar Siap Menjelang Penghujung Disember 2020

YB Dato' Seri Haji Fadillah bergambar bersama kakitangan JKR yang terlibat dalam pembinaan Hospital Parit Buntar.

Hospital Parit Buntar Siap Menjelang Penghujung Disember 2020

YB Dato' Seri Haji Fadillah ketika merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Hospital Parit Buntar.

Sumber : Korporat, SUK Perak.