YAB Menteri Besar Perak Tanam Semula Pokok Ipoh : 21 Februari 2018

YAB Menteri Besar Perak Tanam Semula Pokok Ipoh

YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir tekun memerhati pokok Ipoh yang ditanam di hadapan Dataran Stesen KTM Ipoh.

IPOH, 21 FEBRUARI 2018 - Pokok Ipoh yang telah tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang pada 28 April tahun lalu telah 'dikembalikan' oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir dengan kaedah penanaman semula anak pokok spesies sama di Dataran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), di sini.

Sesi penanaman itu turut disaksikan YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,  Pengangkutan Awam,  Hal Ehwal Bukan Islam,  Integrasi Nasional dan Kampung Baharu,  Dato’ Mah Hang Soon; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Rusnah Binti Kassim dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Bin Man.

Menurut YAB Menteri Besar Perak, proses penanaman semula itu dianggap penting selain mempunyai nilai sejarah yang tersendiri khususnya kepada bandaraya ini.

Katanya, beliau berharap pokok Ipoh berusia tiga tahun yang ditanam itu akan hidup subur dan sentiasa diselenggara oleh kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan baik.

"Diharapkan pokok ini terus tumbuh subur untuk masa hadapan dan terus menjadi lambang kebanggaan kepada warga bandar raya Ipoh khasnya," katanya pada sidang media selepas Program Penanaman Pokok Ipoh di sini, hari ini.

Sebelum ini, pokok asal yang berketinggian kira-kira 50 meter dan berusia 37 tahun telah ditanam oleh YAB Menteri Besar Perak yang ketujuh, Dato’ Seri Wan Mohamed Bin Wan Teh sempena ulang tahun ke-50 Kelab Rotary Ipoh, pada 18 Januari 1980.

Beliau berkata, pihaknya turut berharap MBI memperbanyakkan lagi penanaman spesies pokok-pokok tempatan di sekitar bandaraya yang bertujuan mengindahkan dan menyerlahkan identiti nasional di mata para pelancong.  

"Pihak MBI juga diharap akan terus memberi perhatian bagi menjadikan bandar raya bersih, tersusun selain kelemahan-kelemahan yang ada diperbaiki sesuai dengan kedudukan dan juga latar belakang kita," katanya.

YAB Menteri Besar Perak Tanam Semula Pokok Ipoh

YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir menandatangani plak selepas berlangsung proses penanaman semula pokok Ipoh.

YAB Menteri Besar Perak Tanam Semula Pokok Ipoh

YAB Menteri Besar Perak sempat meluangkan masa berswafoto dengan pengunjung yang hadir dalam program tersebut.

YAB Menteri Besar Perak Tanam Semula Pokok Ipoh

YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir ketika melakukan tinjauan di gerai yang menjual baja dan anak pokok.

YAB Menteri Besar Perak Tanam Semula Pokok Ipoh

YAB Menteri Besar Perak melihat jenis baja yang sesuai digunakan untuk menyelenggara pokok Ipoh yang terdapat di hadapan Dataran Stesen KTM Ipoh.

Sumber : Korporat, SUK Perak.