The Official Portal of The Perak Government

DYMM Sultan Perak Rasmi Hentian Royal Belum Amanjaya : 20 Mac 2018

DYMM Sultan Perak Rasmi Hentian Royal Belum Amanjaya

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Hentian Royal Belum Amanjaya.

GERIK, 20 MAC 2018 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Hentian Royal Belum Amanjaya yang menjadi pintu masuk utama ke Hutan Tropika Belum-Temengor (BTTR) dan Taman Negeri Royal Belum, dekat Pulau Banding.

Hentian Royal Belum Amanjaya sebelum ini dikenali sebagai Jeti Awam Pangkalan Aman, Pulau Banding sebelum dinaiktaraf.

Pembangunan Hentian Royal Belum Amanjaya sebagai pintu masuk utama bagi pelancong ke kawasan BTTR itu dibangunkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Gerik (MDG) dan Perbadanan Taman Negeri Perak dimulakan pada Januari 2014 dan siap sepenuhnya pada September 2016.

Jeti baharu yang dibina dengan kos sebanyak RM20.4 juta itu turut dilengkapi kedai serbaneka, medan selera, kedai cenderahati, ruang parkir yang mencukupi untuk kereta dan bas serta sebuah helipad.

Turut berangkat pada majlis itu, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan DYAM Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah serta DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd. Kadir dan YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan Negeri, Dato’ Saarani Bin Mohamad dan YBhg Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Bin Rafiq.

Pembinaan jeti baharu Hentian Royal Belum Amanjaya itu juga turut menempatkan beberapa pejabat agensi antaranya Perbadanan Taman Negeri Perak yang akan memudahkan urusan permohonan permit masuk ke Taman Negeri dan informasi pelancongan.

Jeti baharu itu juga berjaya mengatasi masalah jeti lama yang sebelum ini sering kali ditutup setiap kali banjir yang disebabkan oleh air pasang dan hujan lebat.

Sementara itu, YB Dato’ Saarani Bin Mohamad berkata, hentian itu diharap akan merancakkan lagi pembangunan di daerah Hulu Perak, khususnya bagi sektor alam sekitar dan pelancongan negeri.

"Industri pelancongan telah menjadi salah satu industri yang terbesar dan paling cepat berkembang, mencipta peluang pekerjaan dan menjana pendapatan sekali gus dapat memelihara warisan, budaya dan tapak pelancongan.

"Bagi merealisasikan matlamat itu, inisiatif membina hentian ini diharapkan boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta limpahan manfaat kepada kawasan dan penduduk sekitarnya," katanya.

DYMM Sultan Perak Rasmi Hentian Royal Belum Amanjaya

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melihat pemandangan yang terdapat di kawasan berkenaan.

DYMM Sultan Perak Rasmi Hentian Royal Belum Amanjaya

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah beramah mesra dengan tetamu yang hadir dalam program tersebut.

DYMM Sultan Perak Rasmi Hentian Royal Belum Amanjaya

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mendengar penerangan yang disampaikan.

DYMM Sultan Perak Rasmi Hentian Royal Belum Amanjaya

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melakukan lawatan melihat pelbagai spesies haiwan liar yang terdapat di kawasan berkenaan.

DYMM Sultan Perak Rasmi Hentian Royal Belum Amanjaya

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama kakitangan Perbadanan Taman Negeri Royal Belum.

DYMM Sultan Perak Rasmi Hentian Royal Belum Amanjaya

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ceria bergambar bersama masyarakat Orang Asli yang turut terbabit memeriahkan program tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.