The Official Portal of The Perak Government

YAB Menteri Besar Rasmi Litar Kereta Us Legends Car, T City Gopeng : 20 Mac 2018

YAB Menteri Besar Rasmi Litar Kereta Us Legends Car, T City Gopeng

YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd. Kadir melakukan gimik perasmian dalam majlis yang berlangsung.

GOPENG, 20 MAC 2018 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd. Kadir melancarkan fasa pertama pembukaan litar perlumbaan siri U.S Legends Car di kawasan seluas 83 hektar di T-City.

Menurut beliau, litar lumba bertaraf dunia itu menempatkan dua kategori utama siri perlumbaan U.S Legends Car iaitu Bandolero dan Legends yang kini siap dibina.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin bahawa litar pertama seumpamanya di seluruh Asia Tenggara tersebut akan menjadi pencetus dalam memberikan peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi masyarakat setempat di Gopeng.

“T-City merupakan litar pertama di Asia Tenggara untuk siri perlumbaan U.S Legends Car. Ia merupakan satu kelebihan kepada negeri Perak apabila ia diperkenalkan pada dua tahun lalu dan projek ini menjadi kenyataan.

“Setakat ini, pembukaan litar ini masih pada peringkat awal dan T-City akan memperkenalkan Akademi Lumba Kereta Memandu T-City di sini untuk melatih mereka yang berminat dalam sukan permotoran,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Akademi Memandu T- City (Ipoh), Gopeng di Bandar T-City, Gopeng Industrial Park.

Turut hadir, YB Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Dato’ Zainol Fadzi Bin Paharuddin serta YBhg Pengerusi Eksekutif Goodland Group Limited, Tan Chee Beng.

Selain itu, beliau berkata, litar lumba tersebut turut dirancang dan dibangunkan dengan penglibatan pihak swasta iaitu Goodlands Group Limited sejak dua tahun lepas dan dirangka secara teliti bagi memenuhi objektif sebagai sebuah Akademi Lumba Kereta Memandu T-City.

Terdahulu, T-City merupakan kawasan pembangunan bandar permotoran pertama di negara ini dengan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion dan ia terbahagi kepada beberapa fasa untuk siap sepenuhnya.

Bagi fasa pertama, litar lumba siri U.S Legends Car yang diasaskan di Amerika Syarikat dibina dengan kos RM3 juta dan ia mengikut spesifikasi asal dari negara tersebut.

Setakat ini, pihak pengurusan sedang giat menjalankan kursus selama tiga hari di dalam Akademi Lumba Kereta Memandu T-City untuk mencungkil bakat baru dalam dunia permotoran.

Sementara itu, Chee Beng berkata, pembukaan T-City merupakan satu medan mencari serta mencungkil bakat pelumba U.S Legends Car tempatan.

Jelasnya, selain daripada Akademi Lumba Kereta Memandu T-City, pemaju juga sedang dalam perancangan untuk menjalankan lebih banyak kategori sukan permotoran di litar tersebut.

“Kita juga sedang merancang untuk membuka pelbagai gerai yang berkaitan dengan sukan permotoran, gerai makanan dan garaj untuk menempatkan kereta perlumbaan U.S Legends Car yang diimport dari Amerika Syarikat,” ujar beliau.

YAB Menteri Besar Rasmi Litar Kereta Us Legends Car, T City Gopeng

YAB Menteri Besar Perak berucap semasa Majlis Pembukaan Akademi Lumba Kereta Memandu T-City.

YAB Menteri Besar Rasmi Litar Kereta Us Legends Car, T City Gopeng

YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir bersama pegawai tinggi kerajaan dan pihak pemaju yang membangunkan Akademi T-City.

YAB Menteri Besar Rasmi Litar Kereta Us Legends Car, T City Gopeng

Antara aksi dan keletah yang dipamerkan YAB Menteri Besar Perak dalam majlis berkenaan.

YAB Menteri Besar Rasmi Litar Kereta Us Legends Car, T City Gopeng

Antara kereta lumba yang boleh digunakan orang awam yang mahu mencari kelainan dalam mengisi masa lapang.

YAB Menteri Besar Rasmi Litar Kereta Us Legends Car, T City Gopeng

YAB Menteri Besar Perak menyaksikan kawasan sekitar Akademi Lumba Kereta MemanduT-City.

Sumber : Korporat, SUK Perak.