The Official Portal of The Perak Government

RM17.9 Juta Kos Naiktaraf Stadium Indera Mulia Dan Arena Skuasy Kompleks Amanjaya : 4 April 2018

RM17.9 Juta Kos Naiktaraf Stadium Indera Mulia Dan Arena Skuasy Kompleks Amanjaya

YB Dato' Seri Abdul Puhat ketika berucap dalam majlis tersebut.

IPOH 4 APRIL 2018 - Sebanyak RM 17.9 juta diperuntukkan bagi proses menaik taraf Stadium Indera Mulia dan Arena Skuasy Kompleks Amanjaya yang menjadi antara venue pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 yang akan berlangsung pada 12 hingga 22 September depan.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan berkata, kerja-kerja menaik taraf Stadium Indera Mulia menelan kos sekitar RM14.5 juta selain mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan manakala Arena Skuasy pula selama sembilan bulan dengan peruntukkan sebanyak RM3.4 juta.

"Saya ucapkan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada kontraktor terlibat kerana berjaya menyiapkan kedua-dua gelanggang ini mengikut masa ditetapkan dan memenuhi ketetapan spesifikasi antarabangsa.

"Pada peringkat awal kita akan gunakan untuk kegunaan atlet SUKMA kita berlatih. Selain memastikan ia selamat digunakan oleh atlet lain dan orang awam," ujar beliau pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Stadium Indera Mulia dan Arena Skuasy Kompleks Amanjaya.

Turut hadir YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Rohana Binti Abd Malek, YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Mohd Gazali Bin Jalal dan Datuk Bandar Ipoh, YBhg Dato’ Zamri Bin Man.

Beliau berkata, Stadium Indera Mulia yang bakal menjadi venue kepada acara gimnastik mampu memuatkan jumlah maksimum sekitar 4,000 pengunjung dalam satu masa.

"Untuk Arena Skuasy pula, ia akan dilengkapi dengan 11 gelanggang dan 100 kerusi penonton untuk gelanggang utama," kata beliau.

Selain itu, Dato’ Seri Abdul Puhat yang merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk SUKMA turut menjelaskan kedua-dua venue dijangka dibuka pada orang awam sekitar Jun depan.

Menurut beliau, kedua-dua venue boleh dijadikan sebagai tempat menganjurkan pelbagai jenis sukan dalaman di peringkat negeri mahupun antarabangsa.

"Stadium Indera Mulia umpamanya, kita boleh anjurkan pertandingan seperti bola tampar, takraw, badminton dan sebagainya. Sebelum ini, pun saya ada bercadang nak anjurkan pertandingan takraw Piala Khir Johari tetapi apa pun kita selesaikan SUKMA terlebih dahulu," ujar beliau.

RM17.9 Juta Kos Naiktaraf Stadium Indera Mulia Dan Arena Skuasy Kompleks Amanjaya

YB Dato' Seri Abdul Puhat menandatangani dokumen hak pemilikan Stadium Indera Mulia daripada pemaju yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja menaiktaraf stadium.

RM17.9 Juta Kos Naiktaraf Stadium Indera Mulia Dan Arena Skuasy Kompleks Amanjaya

YB Dato' Seri Abdul Puhat menunjukkan dokumen penyerahan Stadium Indera Mulia dan Arena Skuasy yang diterima daripada pihak pemaju.

RM17.9 Juta Kos Naiktaraf Stadium Indera Mulia Dan Arena Skuasy Kompleks Amanjaya

YB Setiausaha Kerajaan Negeri bersama pegawai kerajaan negeri dan pihak yang terlibat dalam proses menaiktaraf Stadium Indera Mulia dan Arena Skuasy Kompleks Amanjaya.

RM17.9 Juta Kos Naiktaraf Stadium Indera Mulia Dan Arena Skuasy Kompleks Amanjaya

Foto-foto yang memperlihatkan keadaan Stadium Indera Mulia dan Arena Skuasy selepas proses menaiktaraf berlaku.

Sumber : Korporat, SUK Perak.