The Official Portal of The Perak Government

Majlis Penyerahan Projek Dan Kunci Rumah Pangsapuri Simpang Perdana - 20 Februari 2014

Taiping, 20 Februari 2014 -Program Perumahan Rakyat (PPR) Simpang Perdana yang telah siap dibina dengan kos RM 208 juta telah diserahkan kepada YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir mewakili Kerajaan Negeri Perak oleh YB Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar dan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah binti Mohamed Sadique.

Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Simpang Perdana ini telah dimulakan pada 1 Jun 2011 dan diiktiraf sepenuhnya serta memiliki Perakuan Siap Menduduki (CPC) pada 30 Disember 2013. PPR yang dibina atas konsep reka dan bina in adalah salah satu PPR yang diiktiraf tercantik di Malaysia.

Setiap unit rumah yang berkeluasan 700 kaki persegi ini dilengkapi dengan 3 bilik tidur, 2 bilik mandi, dapur, ruang tamu dan jemuran. Kemudahan asas yang disediakan ialah tadika, perpustakaan, dewan serbaguna, kedai, gelanggang bola tampar, taman permainan kanak-kanak dan tempat letak kereta.

Bagi PPR di Perak, Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan 7 projek termasuklah PPR Simpang Perdana ini yang melibatkan sebanyak 915 unit rumah. Antara lokasi lain adalah di PPR Kampar (29 unit), PPR Sungkai (64 unit), PPR Batu Gajah, ( 9 unit), PPR Ipoh (112 unit) dan PPR Buntong Ipoh (416) unit.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT) telah merancang untuk membina 2 lagi lagi projek PPR di Perak iaitu PPR Kamunting dan Seri Iskandar.

Turut hadir ke Majlis Penyerahan Projek dan Penyerahan Kunci Rumah Pangsapuri Simpang Perdana ini ialah YBhg. Ketua Setiausaha KPKT, Dato’ Seri Arpah Abdul Razak; YBhg. Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Mohamad Yusoff Ghazali dan YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Saarani Mohammad.

Penyewa begitu gembira apabila terpilih menerima kunci rumah di Majlis Penyerahan Kunci Rumah kepada Penyewa yang disempurnakan YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir.
Pertukaran MoU Penyerahan dan Pengurusan Pangsapuri Simpang Perdana, Taiping daripada YB Datuk Halimah Mohamed Sadique kepada YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir.
YAB Menteri Besar Perak dan YB Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menandatangi 'plaque' Penyerahan Projek Pangsapuri Simpang Perdana, Taiping.
Sebahagian Penyewa yang menerima kunci di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Pangsapuri Simpang Perdana Taiping.

Sumber: Korporat, SUK Perak.