The Official Portal of The Perak Government

Senarai Barisan Exco Dimuktamadkan Minggu Ini : 14 Mei 2018

Senarai Barisan Exco Dimuktamadkan Minggu Ini

YAB Menteri Besar Perak ketika tiba di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

IPOH, 14 MEI 2018 - Senarai barisan Exco kerajaan negeri yang baharu dijangka dimuktamadkan minggu ini selepas perbincangan mengenainya dibuat bersama pimpinan tertinggi negeri Perak selesai.

YAB Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu berkata, perbincangan mengenai senarai berkenaan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Dalam masa terdekat (saya) akan berbincang dengan rakan parti komponen untuk menyediakan satu senarai barisan EXCO untuk dipersembahkan kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk diperkenankan.

"Ia akan dibuat seberapa segera dan selepas diperkenankan (senarai itu) kami akan dimaklumkan kepada rakan media.

"Saya cuba akan buatkan (senarai) dalam minggu ini juga, namun ia bergantung juga kepada (perkenan) Tuanku Sultan," ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri di Bangunan Darul Ridzuan.

Yang hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri memangku tugas YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Gazali Jalal.

Ditanya mengenai komposisi barisan Exco, YAB Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu berkata, ia akan diisi berpandukan jumlah kerusi setiap parti komponen yang membentuk kerajaan negeri.

"Saya fikir tuan-tuan boleh jangka, jumlah kerusi yang banyak dari parti mana. Sudah tentu ia tidak banyak perubahan daripada 10 jawatan EXCO sebelum ini," kata beliau.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kedudukan beberapa jabatan dan agensi negeri sama ada akan dirombak atau dikekalkan, YAB Menteri Besar berkata, beliau tidak akan merombak sebaliknya akan menambah baik agensi sedia ada.

Mengambil contoh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR), beliau berkata, apa yang dilakukan YBUDR adalah baik untuk memberi bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

"Ini satu perkara baik, mungkin saya akan semak dan berhubung dengan pihak pentadbiran YBUDR sendiri untuk fikirkan jalan ke hadapan... perlu berhenti politik dan bersama-sama memikirkan cara membangunkan negeri ini," ujar beliau.

Mengenai Bajet 2018 yang sudah dibentangkan kerajaan negeri sebelum ini, beliau berkata, bajet yang sudah diluluskan dan sedia ada cukup untuk membolehkan kerajaan negeri sekarang menjalankan semua tawaran yang diberikan dalam manifesto.

Beliau berkata, pihaknya mungkin akan mengubah beberapa aspek dalam bajet itu dan setakat ini tiada sebarang masalah untuk mereka meneruskan kelangsungan janji yang diberikan.

Senarai Barisan Exco Dimuktamadkan Minggu Ini

YAB Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika ditemui sebelum memasuki ruang Pejabat Menteri Besar.

Senarai Barisan Exco Dimuktamadkan Minggu Ini

YAB Menteri Besar, Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu memulakan tugas di Pejabat Menteri Besar.

Senarai Barisan Exco Dimuktamadkan Minggu Ini

YAB Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu tekun mendengar taklimat yang diberikan.

Senarai Barisan Exco Dimuktamadkan Minggu Ini

Antara ketua jabatan yang hadir dalam majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.