The Official Portal of The Perak Government

Bersatu Padu Demi Pembangunan Negeri Perak - 21 Februari 2014

Ipoh, 21 Februari 2014 - YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Abu Bakar bin Haji Said menggesa semua pihak khususnya kakitangan penjawat awam negeri Perak agar bersatu padu bagi membantu melonjakkan pembangunan Negeri Perak. “Apabila bersatu padu, negeri akan berada dalam keadaan aman dan harmoni, dan semua usaha dan fikiran kita, kita boleh fokuskan kepada pembangunan ekonomi Negeri Perak” kata YBhg. Dato’ Abu Bakar bin Haji Said ketika ucapan beliau sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Perkhidmatan Awam Bangunan Perak Darul Ridzuan Bil 1/2014 di Dewan Bankuet SUK Perak.

Menurut beliau lagi, bagi melonjakkan lagi pembangunan Negeri Perak, kerajaan negeri telah melancarkan Gagasan Perak Amanjaya yang berlandaskan 3Q iaitu Quality Income (Pendapatan Berkualiti), Quality Opportunity (Peluang Berkualiti dan Quality Living (Kehidupan Berkualiti).

Menurut YBhg. Dato’ Abu Bakar bin Haji Said, sejak tahun 2010, Unit Perancang Ekonomi dan Institut Darul Ridzuan (IDR) bersama-sama memantau indeks Amanjaya setiap masa dan secara keseluruhannya, indeks Amanjaya yang merangkumi ketiga-tiga “Q” tadi meningkat dari tahun ke tahun iaitu pada tahun 2010 mencatatkan indeks Amanjaya 0.74, tahun 2011 dengan indeks bacaan 0.75 dan 0.77 bacaan indeks Amanjaya bagi tahun 2012.

Di akhir ucapan, beliau berharap penjawat awam di negeri Perak supaya melonjakkan pembangunan negeri Perak agar Perak mencapai negeri maju menjelang tahun 2015 dan juga negara maju Malaysia pada tahun 2020.

“Pekara ini tidak mustahil dilakukan kerana pada tahun 2012 yang lalu, negeri Perak mencatat pertumbuhan 7.1% mengatasi kadar yang dicatatkan oleh Malaysia. Kalau momentum ini kita dapat teruskan untuk tahun ini, tahun depan InsyaAllah Perak boleh mencapai negeri maju dengan lebih awal.” kata YBhg. Dato’ Abu Bakar bin Haji Said.

Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Perkhidmatan Awam Bangunan Perak Darul Ridzuan Bil 1 2014 dimulakan dengan Majlis Bacaan Yassin di Dewan Bankuet.
Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Perkhidmatan Awam Bangunan Perak Darul Ridzuan turut diserikan lagi dengan majlis sambutan hari lahir kakitangan SUK Perak.
YBhg. Dato' Abu Bakar bin Haji Said menyampaikan cenderamata hari lahir kepada kakitangan Bahagian Sumber Manusia, Pejabat SUK Perak.
YBhg. Dato' Abu Bakar bin Haji Said menyampaikan cenderamata hari lahir kepada Timbalan Pegawai Kewangan Negeri.

Sumber: Korporat, SUK Perak.