The Official Portal of The Perak Government

Kerajaan Negeri Peka Dalam Penyediaan Penginapan Atlet SUKMA : 14 September 2018

Kerajaan Negeri Peka Dalam Penyediaan Penginapan Atlet SUKMA

Pengarah PUO Haji Zairon Bin Mustapha menyerahkan replika kunci kepada YB Howard Lee Chuan How sebagai gimik perasmian perkampungan sukan bagi atlet yang menyertai SUKMA Perak 2018.  

IPOH, 14 SEPTEMBER 2018 - Kerajaan negeri sentiasa peka dalam menyediakan pelbagai kemudahan kepada para atlet yang menginap di perkampungan sukan sempena Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018.

YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Howard Lee Chuan How berkata, perkara itu perlu menjadi keutamaan kerana ia merupakan antara penanda aras terpenting dalam memastikan fokus atlet tidak terganggu dalam menghasilkan keputusan cemerlang dalam acara yang ditandingi.

Menurut beliau, kerjasama semua pihak termasuk agensi dan jabatan kerajaan di peringkat negeri amat dituntut bagi memudahkan dan melancarkan segala urusan di perkampungan sukan berkenaan.

“Segala kerjasama dan usaha yang dilakukan dengan penuh bertanggungjawab akan mampu menjadikan SUKMA ini sebagai pencetus perpaduan dan semangat muhibbah antara negeri-negeri di Malaysia,” kata beliau.   

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di perkampungan sukan Polititeknik Ungku Omar (PUO).

Mengulas mengenai penginapan atlet, beliau berkata, sebanyak 4003 atlet telah ditempatkan di perkampungan sukan seluruh daerah Kinta.

YB Howard Lee Chuan How berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 2500 atlet telah ditempatkan di PUO meliputi sukan olahraga, berbasikal (trek), akuatik, skuasy, lawn bowls, hoki, gimnastik, golf (L) dan ragbi.

“Penempatan atlet di daerah Kinta yang lain adalah seperti di Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKMM SAS), Institut Latihan Perindustrian Ipoh (ILP), Sekolah Raja Perempuan Taayah dan Akedemik Pembangunan Belia Malaysia (APBM),” ujar beliau.

Kerajaan Negeri Peka Dalam Penyediaan Penginapan Atlet SUKMA

YB Howard Lee Chuan How dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Gazali Bin Jalal bersama para atlet yang menyertai SUKMA Perak 2018.

Kerajaan Negeri Peka Dalam Penyediaan Penginapan Atlet SUKMA

YB Howard Lee Chuan How merasmikan perkampungan sukan bagi atlet SUKMA Perak 2018 di PUO.

Kerajaan Negeri Peka Dalam Penyediaan Penginapan Atlet SUKMA

Wakil Kontinjen SUKMA Johor menyampaikan cenderahati kepada YB Howard Lee Chuan How dalam program berkenaan.

Kerajaan Negeri Peka Dalam Penyediaan Penginapan Atlet SUKMA

Wakil Kontinjen SUKMA Kedah menyampaikan cenderahati kepada YB Howard Lee Chuan How dalam program yang berlangsung.

Sumber : Korporat, SUK Perak.