The Official Portal of The Perak Government

Kerajaan Negeri Dan JUPEM Jalin Kerjasama Kongsi Maklumat Geospatial : 31 Oktober 2018

Kerajaan Negeri Dan JUPEM Jalin Kerjasama Kongsi Maklumat Geospatial

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman dan YBhg. Dato' Mohd Noor Bin Isa ketika bertukar dokumen nota kerjasama antara kerajaan negeri dan JUPEM dalam majlis berkenaan.

IPOH, 31 OKTOBER 2018 - Perak merupakan kerajaan negeri pertama menjalin kerjasama dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) berkaitan perkongsian maklumat geospatial atau maklumat geografi.

YBrs Ketua Pengarah JUPEM, Dato' Mohd Noor Bin Isa berkata, perkongsian maklumat  menerusi laman sesawang Perkhidmatan Data Geospatial Malaysia atau 'MyGeoServe' bertujuan mengatasi masalah pertindihan dalam pengurusan maklumat geospatial antara agensi supaya lebih terurus dan memperoleh faedah yang optimum.

Beliau berkata, menerusi inisiatif 'MyGeoServe' ini, JUPEM akan menyediakan sokongan kepakaran dan bantuan teknikal yang boleh disalurkan kepada kerajaan negeri melalui Unit PerakGIS (sistem maklumat geografi).

"Kerajaan Negeri Perak pula memberi sokongan dan saluran maklumat daripada segi data sempadan binaan, maklumat atribut yang terdiri daripada nama lokaliti, nama jalan, nama taman perumahan dan nombor bangunan atau rumah," kata beliau. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani nota kerjasama antara Jupem dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, dalam satu majlis yang turut dihadiri YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Menurut beliau, menerusi perkongsian maklumat itu, JUPEM akan menghasilkan peta bandar yang komprehensif dan terkini yang boleh disalurkan kepada kerajaan negeri untuk pelbagai kegunaan.

Sementara itu, YB Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman berkata, Unit PerakGIS yang ditubuhkan kerajaan negeri pada 2012 merupakan sistem komputer untuk merakam, menyimpan, memeriksa dan memaparkan data yang berkaitan dengan kedudukan pada permukaan bumi.

Beliau berkata,  unit itu bertindak sebagai penyelaras bagi pihak kerajaan negeri untuk perkongsian maklumat dan data geospatial dengan JUPEM.

“Kerjasama ini dapat melancarkan perolehan maklumat dan data yang diperlukan oleh Unit PerakGIS selaku Pusat Pangkalan Data Geospatial negeri bagi tujuan perancangan pembangunan di peringkat negeri dan tempatan,” kata beliau.

Kerajaan Negeri Dan JUPEM Jalin Kerjasama Kongsi Maklumat Geospatial

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman ketika majlis menandatangani nota kerjasama bersama JUPEM.

Kerajaan Negeri Dan JUPEM Jalin Kerjasama Kongsi Maklumat Geospatial

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman diberi penerangan oleh salah seorang kakitangan JUPEM ketika sesi lawatan dalam majlis tersebut.

Kerajaan Negeri Dan JUPEM Jalin Kerjasama Kongsi Maklumat Geospatial

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman ketika mengiringi YBhg. Dato' Mohd Noor Bin Isa dalam majlis tersebut.

Kerajaan Negeri Dan JUPEM Jalin Kerjasama Kongsi Maklumat Geospatial

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman dan YBrs Ketua Pengarah JUPEM, Dato' Mohd Noor Bin Isa bersama pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dalam majlis berkenaan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.