The Official Portal of The Perak Government

Kerajaan Negeri Beri Insentif Kepada Pemberi Maklumat Rasuah : 15 November 2018

Kerajaan Negeri Beri Insentif Kepada Pemberi Maklumat Rasuah

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika berucap pada seminar berkenaan.

IPOH, 15 NOVEMBER 2018 - Kerajaan negeri Perak akan memberi ganjaran  kepada mana-mana individu yang memberikan maklumat berhubung ketirisan atau salah laku dalam pengurusan pentadbiran kerajaan negeri sehingga kes berkenaan dibawa ke muka pengadilan.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, ganjaran berbentuk insentif itu adalah sebagai galakan kerana membantu kerajaan negeri menangani kes berkaitan integriti dan salah laku. 

"Ini sebagai menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk tidak sekali-kali berkompromi atas apa jua isu yang berkait dengan integriti dan akauntabiliti. 

"Namun, ganjaran ini adalah tertakluk hanya kepada kes-kes yang dilaporkan kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri melalui Unit Integriti yang  bertanggungjawab mengurus dan melaksanakan inisiatif penginstitusian integriti, pencegahan, pematuhan, pengesanan salah laku dan tindakan punitif secara lebih fokus, terancang, efisien dan optimum," kata beliau.

Dato' Seri Faizal Bin Dato' Azumu berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Pemerkasaan Integriti Peringkat Negeri Perak anjuran Institut Integriti Malaysia dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman, YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Abu Bakar Bin Haji Said.

Dalam sidang media kemudiannya, YAB Menteri Besar berkata, ganjaran yang diberikan itu tidak bermaksud kerajaan negeri cuba membina budaya kerja yang tidak sihat dengan menggalakkan penjawat awam 'mengintai' kesalahan rakan kerja lain. 

Beliau berkata sebaliknya ia dilaksanakan untuk menanam sikap tanggungjawab melaporkan perkara yang boleh merosakkan sesebuah organisasi dan menghentikan kesalahan dengan tindakan sewajarnya diambil terhadap pelaku rasuah.

"Saya bimbang apabila kita sebut insentif, maka ada pula yang kerjanya mengintai kesalahan orang sahaja, saya tidak mahu ada penjawat awam yang lari daripada fokus berkhidmat kepada rakyat.

"Tetapi jika kesalahan itu boleh membinasakan negara, maka ia perlu dilaporkan, sudah pasti identiti mereka akan dijaga," kata beliau. 

Dalam pada itu, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, satu jawatankuasa anti rasuah yang turut disertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi penguat kuasa lain akan ditubuhkan bagi membantu kerajaan menjadi sebuah pentadbiran yang lebih berintegriti. 

"Saya sudah pun bincang bersama setiausaha kerajaan negeri mengenai perkara ini dan skop kerja jawatankuasa akan diperincikan kemudian," ujar beliau.

Kerajaan Negeri Beri Insentif Kepada Pemberi Maklumat Rasuah

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu hadir pada Seminar Pemerkasaan Integriti Negeri Perak.

Kerajaan Negeri Beri Insentif Kepada Pemberi Maklumat Rasuah

Antara tetamu yang terdiri dikalangan pejawat awam negeri hadir dalam seminar berkenaan.

Kerajaan Negeri Beri Insentif Kepada Pemberi Maklumat Rasuah

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama pegawai dan kakitangan kerajaan negeri yang terlibat dalam seminar berkenaan.

Kerajaan Negeri Beri Insentif Kepada Pemberi Maklumat Rasuah

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika melakukan lawatan ke gerai-gerai informasi berkaitan integriti.

Kerajaan Negeri Beri Insentif Kepada Pemberi Maklumat Rasuah

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu mendengar taklimat yang diberikan ketika melakukan lawatan selepas berakhir seminar berkenaan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.