The Official Portal of The Perak Government

PARA SUKMA XIX PERAK 2018 Dirasmikan Penuh Gemilang : 24 November 2018

PARA SUKMA XIX PERAK 2018 Dirasmikan Penuh Gemilang

YB Tuan Syed Saddiq Bin Syed Abdul Rahman ketika melakukan gimik perasmian PARA SUKMA XIX Perak 2018 Perasmian.

IPOH, 24 NOVEMBER 2018 - Selepas kejayaan temasya Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA XIX) 2018 pada September lalu, Perak sekali lagi menjadi tuan rumah bagi Sukan Para SUKMA yang membuka tirai rasmi penuh gemilang di Stadium Indera Mulia.

Perasmian disempurnakan YB Menteri Belia dan Sukan, Tuan Syed Saddiq Bin Syed Abdul Rahman dengan menyalakan obor kejohanan dan majlis turut dihadiri YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Encik Howard Lee Chuan How.

Sukan Paralimpiad yang dijenamakan semula kepada Sukan Para SUKMA itu berlangsung bermula 21 hingga 28 November depan dan majlis penutupnya akan dilaksanakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu.

YB Tuan Syed Saddiq Bin Syed Abdul Rahman berkata, Sukan Para SUKMA adalah satu medan yang dibina untuk atlet para dan ditunggu golongan itu sebagai satu landasan untuk menonjolkan bakat sebelum bertanding di peringkat antarabangsa.

"Bagi kami dan Majlis Sukan Negara (MSN), temasya ini adalah begitu penting dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet para berbakat dan berpotensi untuk dilatih bagi membawa cabaran negara di peringkat lebih tinggi.

"Kita berharap atlet yang dilahirkan nanti akan mampu mengambil alih kekosongan yang akan ditinggalkan oleh atlet senior negara," ujar beliau.

Beliau berkata, kejayaan pada Sukan Para Asia Jakarta 2018 yang lalu adalah satu contoh keupayaan terbaik atlet para negara dengan berjaya membawa pulang 17 pingat emas - pencapaian terbaik negara berbanding edisi di Korea pada 2014.

"Oleh kerana itulah kita amat berharap temasya ini akan sentiasa menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan para dan kerajaan negeri patut turut sama memainkan peranan dalam memastikan matlamat terbabit dapat dicapai.

“Kepada semua atlet dan pegawai yang mengambil bahagian dalam Sukan Para SUKMA edisi ke-19 ini saya ucapkan selamat maju jaya dan pamerkan prestasi yang cemerlang.

“Ingatlah kalian semua benar-benar luar biasa dan sematkan semangat Malaysia Boleh dalam hati kalian semua," kata beliau.

Temasya kali ini menyaksikan penyertaan 1,968 atlet dan pegawai membabitkan 10 acara sukan dipertandingkan iaitu badminton, boccia, boling padang, catur, memanah, olahraga, ping-pong, angkat berat, renang dan boling yang membabitkan sembilan venue sekitar Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh.

Sebanyak 1,204 pingat dipertandingkan dengan 310 acara dan kontinjen Perak seramai 80 atlet dan 62 pegawai menyasarkan pungutan 25 pingat emas, berbanding 12 pingat emas pada temasya di Sarawak dua tahun lalu.

PARA SUKMA XIX PERAK 2018 Dirasmikan Penuh Gemilang

Ucapan Perasmian oleh YB Tuan Syed Saddiq Bin Syed Abdul Rahman ketika menyampaikan ucapan ketika perasmian PARA SUKMA XIX Perak 2018.

PARA SUKMA XIX PERAK 2018 Dirasmikan Penuh Gemilang

Bacaan Ikrar yang dibuat kontinjen-kontinjen negeri yang beraksi di PARA SUKMA XIX Perak 2018.

PARA SUKMA XIX PERAK 2018 Dirasmikan Penuh Gemilang

YB Tuan Syed Saddiq Bin Syed Abdul Rahman dan YB Encik Howard Lee Chuan How meraikan perarakan masuk kontinjen-kontinjen negeri.

PARA SUKMA XIX PERAK 2018 Dirasmikan Penuh Gemilang

Antara persembahan yang dilangsungkan sempena pembukaan rasmi PARA SUKMA XIX Perak 2018.

PARA SUKMA XIX PERAK 2018 Dirasmikan Penuh Gemilang

YB Tuan Syed Saddiq Bin Syed Abdul Rahman meninggalkan majlis perasamian PARA SUKMA XIX Perak 2018.

Sumber : Korporat, SUK Perak.