The Official Portal of The Perak Government

Kerajaan Negeri Umum Bajet Negeri 2019 Berjumlah RM1.061 Bilion : 27 November 2018

Kerajaan Negeri Umum Bajet Negeri 2019 Berjumlah RM1.061 Bilion

Semua pihak tekun mendengar pembentangan Bajet Negeri 2019 yang dibentangkan YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu.

IPOH, 27 NOVEMBER 2018 - Kerajaan negeri mengumumkan Bajet 2019 berjumlah RM1.061 bilion di bawah tema Bersama Memacu Harapan.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, daripada jumlah itu, RM771 juta diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan mengurus manakala RM400 juta lagi disediakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Menurut beliau, Bajet Negeri 2019 yang dibentang itu memberi fokus kepada lima tumpuan utama iaitu Mengukuhkan Ekonomi dan Kelestarian Sumber Negeri; Memacu Kesejahteraan dan Ekonomi Rakyat; Menggerakkan Revolusi Industri 4.0; Meluaskan Jaringan Strategik Pembangunan Negeri; dan Memastikan Perbelanjaan Mengikut Keperluan.

"Bajet 2019 yang dibentangkan pada persidangan Dewan Negeri kali ini merupakan belanjawan tahun keempat dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) dan yang pertama di bawah kepimpinan kerajaan baru. 

"Oleh yang demikian, semua program sedia ada dikaji dan ditambah baik, di samping memperkenalkan program-program baru yang lebih memberi impak terus kepada rakyat," kata beliau ketika membentangkan bajet tersebut di Bangunan Perak Darul Ridzuan

YAB Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, selaras dengan manifesto PH, kerajaan negeri akan memperkenalkan Kad Makanan dan Kad Kesihatan dengan peruntukan RM22 juta kepada 17,000 penerima bermula Januari 2019.

Tambah beliau, kemudahan tersebut diselaraskan di bawah Yayasan Perak dengan nilai setiap Kad Makanan RM80 sebulan dan Kad Kesihatan berjumlah RM300 setahun bagi setiap penerima.

Beliau berkata, sejumlah RM17 juta disediakan khusus untuk Kad Makanan dan RM5 juta bagi Kad Kesihatan sepanjang tahun 2019.

"Ini adalah contoh konsep bantuan bersasar yang benar-benar dapat membantu golongan yang memerlukan, berbanding pemberian wang tunai.

"Pada masa yang sama ia dapat mengelakkan penyalahgunaan bantuan oleh sesetengah penerima yang akhirnya membuatkan bantuan yang diberikan tidak mencapai matlamat," kata beliau.

Dalam pada itu, YAB Menteri Besar berkata, Peruntukan Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi 2019 dinaikkan kepada RM33.89 juta.

Beliau berkata, langkah itu sekali gus membantu rakyat di Perak meneruskan kehidupan harian walaupun dihimpit dengan kemiskinan terutama bagi mereka yang berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK), RM930 sebulan.

Kerajaan Negeri Umum Bajet Negeri 2019 Berjumlah RM1.061 Bilion

Barisan kepimpinan kerajaan negeri sedang membacakan doa sebelum sesi persidangan DUN dimulakan.

Kerajaan Negeri Umum Bajet Negeri 2019 Berjumlah RM1.061 Bilion

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika menjawab soalan yang dikemukakan.

Kerajaan Negeri Umum Bajet Negeri 2019 Berjumlah RM1.061 Bilion

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika membentangkan Bajet Negeri 2018.

Kerajaan Negeri Umum Bajet Negeri 2019 Berjumlah RM1.061 Bilion

YB Speaker DUN Perak, Dato' Ngeh Koo Ham ketika berucap dalam persidangan DUN Negeri.

Kerajaan Negeri Umum Bajet Negeri 2019 Berjumlah RM1.061 Bilion

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama pimpinan kerajaan negeri menunjukkan buku Bajet Negeri 2018.

Sumber : Korporat, SUK Perak.