The Official Portal of The Perak Government

Kerajaan Negeri Jangka 5,000 Masyarakat Sertai Sambutan Ambang Tahun Baru 2019 : 26 Disember 2018

Kerajaan Negeri Jangka 5,000 Masyarakat Sertai Sambutan Ambang Tahun Baru 2019

YB Encik Tan Kar Hing ketika ditemui selepas sidang media berkaitan sambutan ambang Tahun Baru 2019.

IPOH, 26 DISEMBER 2018 - Kerajaan negeri menjangkakan seramai 5,000 masyarakat pelbagai bangsa akan menyertai Program Sambutan Ambang Tahun Baru 2019 Peringkat Negeri yang bakal diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim pada 31 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Encik Tan Kar Hing berkata, setakat ini lebih 50 peratus persediaan telah dilakukan terutama membabitkan perkara teknikal dan kemudahan yang diperlukan bagi menjayakan sambutan tersebut.

"Cuma, esok (27 Disember) kita akan adakan mesyuarat teknikal terakhir di UPSI supaya kita boleh pastikan semua hal teknikal dan perkara berbangkit akan dapat diselesaikan.

"Bagi menjayakan sambutan ini, kita akan bekerjasama dengan Tourism Perak, Majlis Daerah Tanjung Malim, Pejabat Tanah dan Daerah Muallim dan beberapa agensi lain," kata beliau ketika ditemui pemberita pada siding media di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Beliau berkata, dalam sambutan itu juga pelbagai program termasuk persembahan kebudayaan akan berlangsung selain membabitkan komuniti setempat termasuk pelajar sekolah dan kaum Orang Asli.

Tambah beliau, pendekatan itu dilihat sebagai satu langkah untuk mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin kerajaan negeri dengan masyarakat khususnya di kawasan itu.

"Pemilihan Tanjung Malim sebagai lokasi kejadian juga disebabkan kita mahu merapatkan hubungan dengan rakyat setempat selain platform ini berguna untuk kita menerangkan tentang dasar dan polisi kerajaan negeri," kata beliau. Selain itu, beliau berharap 2019 akan menjadi tahun yang cemerlang kepada kerajaan negeri dalam memacu pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai bidang.

"Ini juga kali pertama sambutan ambang tahun baru dianjurkan oleh pentadbiran baru. Harap ia akan jadi satu detik atau hala tuju yang cemerlang dalam pentadbiran kita," ujar beliau.

Kerajaan Negeri Jangka 5,000 Masyarakat Sertai Sambutan Ambang Tahun Baru 2019

YB Encik Tan Kar Hing ketika berucap pada sidang media berkaitan sambutan Ambang Tahun Baru 2019.

Sumber : Korporat, SUK Perak.