The Official Portal of The Perak Government

Pelancaran Kad Perak Prihatin Beri Manfaat Kepada Rakyat Negeri : 10 April 2019

Pelancaran Kad Perak Prihatin Beri Manfaat Kepada Rakyat Negeri

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu selepas merasmikan pelancaran Kad Perak Prihatin di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

IPOH, 10 APRIL 2019 - Kerajaan Negeri Perak melancarkan Kad Perak Prihatin yang dilihat berupaya memberikan manfaat dan faedah kepada rakyat yang memerlukan khususnya di negeri ini.

YAB Menteri Besar Perak Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, peruntukan sebanyak RM22 juta yang akan diserahkan kepada 17 ribu penerima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitumal itu adalah satu janji yang telah diumumkan kerajaan negeri pada pembentangan Belanjawan 2019 negeri.

“Kerajaan negeri sedar bahawa jumlah penerima yang layak untuk program ini di seluruh negeri Perak adalah jauh lebih besar. Begitupun kemampuan kerajaan negeri adalah terhad dan setakat ini sekadar mampu membelanjakan peruntukan sebanyak RM22 juta bagi tahun ini.

“Namun kita akan berusaha dengan lebih kuat untuk meningkatkan hasil kerajaan negeri supaya kita dapat terus membela nasib lebih ramai rakyat di luar sana,” ujar beliau pada sidang media selepas merasmikan pelancaran kad berkenaan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan semua jabatan dan agensi berkaitan untuk menjalankan inisiatif perusahaan atau perniagaan sosial (social enterprising) di kalangan golongan miskin dan miskin tegar.

“Adalah menjadi harapan kita, supaya lebih ramai rakyat Perak mampu menjana pendapatan melalui perniagaan kecil-kecilan seterusnya membina perniagaan yang mampu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada individu.

“Ini adalah kitaran positif yang kita mahu wujudkan dalam usaha memastikan semua rakyat dapat menikmati kekayaan negeri dan negara ini,” kata beliau.

Sementara itu, YB Pengerusi Jawantankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Puan Wong May Ing berkata daripada keseluruhan jumlah peruntukan, sebanyak RM17 juta digunakan untuk barang keperluan asas manakala RM5 juta bagi tujuan kesihatan.

Tambah beliau, penerima Kad Perak Prihatin akan menikmati dua manfaat iaitu jumlah perbelanjaan barang keperluan asas sebanyak RM80 sebulan dan RM300 bagi perbelanjaan perubatan setahun.

“Dengan kad ini, urusniaga ini akan dilaksanakan tanpa tunai, di mana pihak kerajaan yakin bahawa inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu golongan berpendapatan rendah malahan dengan perbelanjaan atas barangan di kedai-kedai seluruh Perak,” ujar beliau.

Beliau berkata sebanyak 169 kedai runcit serta 400 klinik panel berdaftar dengan kerajaan negeri bagi tujuan program berkenaan dan para penerima boleh melayari laman web www.perakprihatin.com untuk mendapatkan senarai-senarai kedai runcit dan klinik panel berkenaan.

Pelancaran Kad Perak Prihatin Beri Manfaat Kepada Rakyat Negeri

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama sebahagian daripada penerima Kad Perak Prihatin di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Pelancaran Kad Perak Prihatin Beri Manfaat Kepada Rakyat Negeri YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu beramah mesra dengan salah seorang penerima Kad Prihatin Perak.
Pelancaran Kad Perak Prihatin Beri Manfaat Kepada Rakyat Negeri YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu beramah mesra dengan penerima Kad Prihatin Perak berbangsa India.
Pelancaran Kad Perak Prihatin Beri Manfaat Kepada Rakyat Negeri MYDIN juga menjadi panel kedai runcit bagi program tersebut.
Pelancaran Kad Perak Prihatin Beri Manfaat Kepada Rakyat Negeri YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menerima sijil pengiktirafan Kad Perak Prihatin daripada wakil Persatuan Perubatan Malaysia.

Sumber : Korporat, SUK Perak.