The Official Portal of The Perak Government

Enam Kampung Orang Asli Terima Air Terawat Sumbangan YSAS : 26 April 2019

Enam Kampung Orang Asli Terima Air Terawat Sumbangan YSAS

Pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara wakil YSAS dan pihak IMARET.

IPOH, 26 APRIL 2019 - Lebih 1,100 penduduk dari enam kampung orang asli di daerah Batang Padang, Perak akan menerima bekalan air terawat dengan pemasangan sistem rawatan air lapangan SafeWhere sumbangan Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS) dengan kerjasama Pasukan Tindakan dan Bantuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang.

Pembinaan 10 unit sistem rawatan air berkuasa solar yang dibangunkan oleh IMARET itu dijangka siap Ogos depan dengan membabitkan dana keseluruhan sekitar RM 1 juta ringgit termasuk kos penyelenggaraan selama 10 tahun dan pembinaan empangan mini.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu berkata, beliau merasa amat bertuah kerana badan sukarelawan seperti IMARET, yang dibarisi oleh pakar-pakar perubatan dan sukarelawan tampil untuk menyahut seruan membantu komuniti Orang Asli di negeri ini.

“Ini sehaluan dengan iltizam kerajaan negeri iaitu untuk membantu menaik taraf kehidupan masyarakat Orang Asli di negeri ini secara menyeluruh.

“Komuniti itu juga perlu mendapat pembelaan yang sewajarnya, sama seperti kaum-kaum lain di negeri ini. Mereka wajar diberi perhatian dan menikmati kemajuan, kerana golongan ini juga mempunyai hak keistimewaan yang dijamin oleh Perlembagaan," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani (MOU) pemasangan sistem SafeWhere antara Yayasan Sultan Azlan Shah dan IMARET di Hotel Impiana.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Saham YSAS, YTM Raja Dato' Seri Eleena Binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah; Penasihat IMARET, Dato' Dr Musa Bin Nordin dan YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Bin Abd Munaim.

Ujar beliau lagi, enam kampung orang asli yang akan dipasang dengan sistem rawatan air lapangan itu ialah Kampung Orang Asli Batu 14, Kampung Orang Asli Batu 15, Kampung Orang Asli Batu 16, Kampung Orang Asli Batu 17 Sekam Bawah, Kampung Orang Asli Batu 17 Landing Zone dan Kampung Orang Asli Batu 19 di Daerah Batang Padang.

“Kampung ini dipilih selepas kajian dijalankan IMARET dan Pegawai Kesihatan Daerah Batang Padang yang memerlukan keperluan air terawat dan mereka sebelum ini hanya bergantung kepada sumber semulajadi yang terdedah kepada risiko penyakit bawaan air” ujar beliau.

Pada perkembangan sama, data terkini menunjukkan terdapat 261 kampung Orang Asli di Perak dengan 95 darinya terletak di Daerah Batang Padang.

Enam Kampung Orang Asli Terima Air Terawat Sumbangan YSAS YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu ketika berucap pada majlis yang berlangsung.
Enam Kampung Orang Asli Terima Air Terawat Sumbangan YSAS YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara YSAS dan IMARET.
Enam Kampung Orang Asli Terima Air Terawat Sumbangan YSAS YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama tetamu kehormat yang hadir pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara YSAS dan IMARET.
Enam Kampung Orang Asli Terima Air Terawat Sumbangan YSAS YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu bersama wakil enam kampung orang asli yang menerima kemudahan sistem rawatan air lapangan SafeWhere sumbangan YSAS.
Enam Kampung Orang Asli Terima Air Terawat Sumbangan YSAS Ahli Lembaga Pemegang Amanah Saham YSAS, YTM Raja Dato' Seri Eleena Binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah beramah mesra dengan tetamu kehormat yang hadir dalam majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.