The Official Portal of The Perak Government

Kekuatan Ummah Dan Bangsa Kelihatan Semakin Diruntuhkan - DYMM Pemangku Raja Perak - 6 Mac 2014

Ipoh, 6 Mac 2014 - DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah bahawa kekuatan ummah dan bangsa kelihatan semakin diruntuhkan berpunca daripada pelbagai kemungkaran pada masa kini.

“Umat Islam dan orang Melayu ketika ini pula semakin berlumba untuk mendedahkan kelemahan sesama sendiri, saling melukiskan wajah Melayu mana yang lebih hodoh. Jika ini terus berlarutan, umat Islam dan orang Melayu tidak lagi memerlukan musuh dari luar untuk memusnahkan kesucian Islam dan bangsa Melayu di bumi ini.” titah baginda sempena Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke-186 di Dewan Persidangan, Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh.

DYMM Pemangku Raja Perak, Dr. Nazrin Shah dalam titah ucapan baginda turut berpesan agar umat Islam dan orang Melayu zaman kini supaya tidak merasakan diri mereka sudah cukup sempurna.

“Umat Islam dan orang Melayu hari ini jangan tersalah sukat, jangan tersilap bacaan, merasakan diri mereka sudah kuat. Umat Islam dan orang Melayu muncul sebagai tenaga pemimpin yang kuat di bumi ini pada era pra dan pasca merdeka, kerana mereka ketika itu menyedari kelemahan dan kekurangan ummah dan bangsanya, lalu majoriti mereka mengambil pendirian, berusaha mengumpul dan menggabungkan setiap kekuatan yang ada sesama mereka.”

Terdahulu, sebelum Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke-186 berlangsung, 5 Agensi iaitu Lembaga Tabung Haji,Tenaga Nasional Berhad, Felcra Berhad Wilayah Perak, Pertubuhan Peladang Negeri Perak dan HSBC Amanah Takaful (M) SDN. BHD. menyerahkan cek zakat perniagaan dan tanaman mereka kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak berjumlah RM 6,841,475.80. Majlis Penyerahan Cek Zakat diserahkan oleh wakil-wakil agensi kepada DYMM Pemangku Raja Perak, Dr. Nazrin Shah.

Turut hadir pada majlis tersebut, YAB Menteri Besar Perak, Dato Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Puhat bin Mat Nayan, YBhg. Mufti Perak Darul Ridzuan, Tan Sri Dato’ Seri (DR) Hj. Harussani bin Haji Zakaria.

DYM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menyampaikan titah ucapan sempena persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke-186
DYMM Pemangku Raja Perak menyempurnakan Penganugerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis MAIP kepada YB Puan Rohana binti Abd Malik
Suasana ketika Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke-186 berlangsung
Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan dan Tanaman oleh Naib Persiden TNB, Y.BRS Tuan Haji Zainuddin bin Ibrahim kepada DYMM Pemangku Raja Perak
Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan dan Tanaman oleh Ketua Pegawai Eksekutif , YBhg. Dato' Haji Ramlee bin Abu Bakar kepada DYMM Pemangku Raja Perak

Sumber: Korporat, SUK Perak.